.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2010 |  Bagi Bulan : :.       

29 Mei 2010
MANTAN PENGARAH JAPEM WANITA PERTAMA JADI TIMBALAN MENTERI

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah Ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah mengumumkan mengenai rombakan keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Negara Brunei Darussalam dan pelantikan-pelantikan baru telah berkenaan melantik Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Pengumuman rombakan Menteri-Menteri Kabinet tersebut telah disiarkan ke seluruh negara melalui Radio dan Televisyen Brunei pada petang tadi kira-kira jam 3.50 petang.

Sebelum pelantikan menjadi Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman, berusia 54 tahun merupakan Pengarah Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Semasa menjadi Pengarah JAPEM, Yang Mulia Datin Hajah Adina aktif dalam penyampaian kertas kerja dan menjadi ahli penal forum mengenai Isu-Isu Wanita, Masalah Sosial di Negara Brunei Darussalam. Yang Mulia Datin Hajah Adina juga telah dianugerahkan “Brunei Woman Leader in Civil Society” oleh Asia Inc Forum pada Julai 2009. Yang Mulia Datin Hajah Adina juga pernah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) kali ke-11, Tahun 2007 di Universiti Brunei Darussalam selama 97 hari mulai 22 Januari 2007 hingga 28 April 2007. Disamping itu, Yang Mulia Datin Hajah Adina seringkali mewakili Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat yang diadakan diperingkat antarabangsa dan serantau.

Dengan pelantikan itu, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman adalah merupakan wanita pertama Negara Brunei Darussalam dalam barisan Menteri-Menteri Kabinet bagi panggal 5 tahun akan bermula pada 29 Mei 2010 hingga 2015.

 
28 Mei 2010
JAPEM LAKSANAKAN BAIK PULIH RUMAH 2 BUAH KELUARGA

Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan menyampaikan Sijil Penghargaan kepada
Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abd Rahman

Sebagai salah satu usaha berterusan pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memeduli kebajikan serta kesejahteraan mereka yang memerlukan tempat kediaman yang lebih selesa, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah melaksanakan projek membaik pulih rumah bagi dua buah keluarga di Kampong Air.

Projek membaik pulih rumah berkenaan adalah kerjasama JAPEM dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat bersempena dengan Jubli Emas Jabatan Bomba dan Penyelamat. Kedua-dua projek membaik pulih rumah berkenaan diselanggarakan oleh 6 orang anggota bomba dan penyelamat dari Cawangan Operasi 'D' yang bermula pada 30 Disember 2009 sehingga 31 Disember 2009.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam melalui JAPEM telah menyumbangkan bantuan kewangan sejumlah BND6,000.00 kepada Dayang Osnah binti Matzain dari Kampong Setia 'A' dan BND 5,000.00 kepada Pengiran Siti Fatimah binti Pengiran Shahbudin dari Kampong Burong Pingai Ayer.

Sehubungan dengan itu satu Majlis Penghargaan Bantuan Membaik Pulih Rumah Sempena Jubli Emas telah diadakan di Balai Bomba Laut, Cawangan Operasi 'D', Kampong Sungai Lampai, Jalan Residency. Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abd Rahman dan Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan.

Pada majlis pada tadi, Pemangku Pengarah JAPEM telah menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Pengarah Bomba dan Penyelamat dan kemudiannya membuat lawatan ke rumah Dayang Osnah binti Matzain di Kampong Setia 'A' dan Pengiran Siti Fatimah binti Pengiran Shahbudin di Kampong Burong Pinggai Ayer.

 

22 Mei 2010
MALAM PENGHARGAAN SEMPENA PERSARAAN PENGARAH JAPEM

Penyampaian Cenderahati dari Pegawai dan Kakitangan JAPEM kepada Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina binti Othman yang telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan malam tadi mengadakan Malam Penghargaan Sempena Persaraan Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina binti Othman. Majlis berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis dimulakan dengan Ucapan Alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan.

Di majlis tersebut Pengarah JAPEM yang akan bersara juga menyampaikan ucapan terakhirnya selaku Pengarah JAPEM yang kedua.

Majlis diikuti dengan penyampaian Cenderahati dari Pegawai dan Kakitangan JAPEM kepada Pengarah JAPEM yang telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Datin Hajah Adina binti Othman yang akan menamatkan perkhidmatan pada 31 Mei 2010, mula dilantik menjadi Pengarah JAPEM pada 25 Oktober 2004. Datin Hajah Adina binti Othman mula berkhidmat dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Disember 1977 sebagai Kurator Arkib, Jabatan Muzium.

Semasa menjadi Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina aktif dalam penyampaian kertas kerja dan menjadi ahli penal forum mengenai Isu-Isu Wanita, Masalah Sosial di Negara Brunei Darussalam. Datin Hajah Adina juga telah dianugerahkan “Brunei Woman Leader in Civil Society” oleh Asia Inc Forum pada Julai 2009. Datin Hajah Adina juga pernah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) kali ke-11, Tahun 2007 di Universiti Brunei Darussalam selama 97 hari mulai 22 Januari 2007 hingga 28 April 2007. Disamping itu, Datin Hajah Adina seringkali mewakili Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat yang diadakan diperingkat antarabangsa dan serantau.

Sepanjang perkhidmatan dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Datin Hajah Adina telah dikurniakan Darjah Seri Mahkota Brunei (SMB)Darjah Ketiga , 1998; Pingat Setia Bakti (PSB) Darjah keempat; Pingat Kerja Lama (PKL); Pingat Indah Kerja Baik (PIKB); Pingat Jubli Perak; Pingat Pengistiharaan Merdeka; Pingat Jubli Perak Hari Kebangsaan 2009.

 
21 Mei 2010
PROGRAM KELUARGAKU PERMATAKU DILANCARKAN

Sesi Kongsi Maklumat JAPEM kepada para peserta Program Keluargaku Permataku bagi Mukim Berakas 'B'

Sebagai salah satu inisiatif yang berterusan kearah meningkatkan lagi kefahaman orang ramai khususnya di peringkat akar umbi mengenai perlunya institusi keluarga diperkukuhkan bagi menghindarkan berlakunya masalah-masalah keluarga atau gejala-gejala sosial yang lain, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim Berakas 'B' Daerah Brunei Muara telah mengadakan Program Keluargaku Permataku bertempat di Dewan Kemasyarakatan 2, Jalan 77 Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis pelancaran program pada pagi tadi ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Awang Haji Mohammad bin Haji Abd Rahman.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan; Pemangku Penghulu Mukim Berakas 'B', Pengiran Haji Ali bin Pengiran Haji Maun, Ketua-ketua Kampong di Mukim Berakas 'B', pegawai-pegawai kanan JAPEM serta para peserta yang dijemput terdiri daripada penduduk-penduduk di Mukim Berakas 'B'.

Menurut Pemangku Pengarah JAPEM selaku Pengerusi Bersama Majlis, Awang Mohd Husaini Abdullah didalam ucapan alu-aluaannya menjelaskan bahawa dengan tema Kesejahteraan Keluarga Tanggungjawab Bersama maka diantara matlamat utama program yang disempenakan dengan sambutan Hari Antarabangsa Keluarga (International Day of Families) bagi tahun 2010 ini ialah untuk meningkatkan lagi kesedaran setiap individu mengenai peranan dan tanggungjawab yang perlu dimaikan bagi mewujudkan kesejahteraan keluarga masing-masing. Dengan tersemainya sifat sebegini Insyallah akan dapat menghindarkan berlakunya gejala-gejala sosial yang boleh merosakkan keluarga sekaligus masyarakat.

Oleh itu, program pada hari ini telah diisikan dengan sesi perkongsian maklumat daripada JAPEM mengenai isu-isu kekeluargaan dan gejala sosial yang berlaku di kalangan masyarakat Negara ini. Selain daripada itu, diadakan juga sesi interaksi bersama penduduk maukim untuk bertukar-tukar pandangan terutama mengenai isu-isu kekeluargaan dan langkah-langkah yang bersesuaian bagi menangani isu tersebut. Mudah-mudahan dengan pengisian sesi-sesi tersebut ianya akan dapat memupuk semangat kecintaan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat secara umumunya.

 
19 Mei 2010
AWANG JUMAT BIN ABAI TERIMA RUMAH BANTUAN

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat ketika menyampaikan replika kunci rumah kepada AWang Jumat bin Abai

Sebagai salah satu usaha berterusan pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memeduli kebajikan serta kesejahteraan golongan yang memerlukan terutama sekali mereka yang memerlukan tempat kediaman yang lebih selesa, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) dan Pejabat Daerah Temburong telah mengungkayahkan satu lagi projek bagi membantu menyediakan tempat kediaman bagi salah seorang yang memerlukan iaitu Awang Jumat bin Abai.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Rumah Bantuan Untuk Golongan Daif, Fakir dan Miskin Bagi Awang Jumat bin Abai telah diadakan pada pagi tadi yang telah disempurnakan oleh Tetamu-Tetamu Khas Majlis Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat dan Menteri Perhubungan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia  Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Antara yang hadir di majlis tersebut, Ketua Kampung Belingos, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Ahad yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal dan Dato Paduka Haji Mohd Hamid bin Haji Jafaar, Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan, Pengarah Urusan YSHHB, Dato Paduka Haji Alihasim bin Haji Daud; Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini bin Abdullah, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Haji Afero Eswandy bin Haji Mohammad, tuan rumah, penghulu dan ketua kampung.

Awang Jumat bin Abai berumur 49 tahun merupakan salah seorang penerima Bantuan Kebajikan Bulanan dari pihak JAPEM, manakala isteri beliau seorang suri rumah tangga sepenuh masa dan mereka dikurniakan 7 orang anak kandung yang mana kesemuanya masih bersekolah. Beliau tidak mempunyai sebarang pekerjaan disebabkan mengalami kecacatan anggota menyebabkan dia terpaksa menggunakan kerusi rida untuk bergerak.

Rumah Bantuan ini berbentuk rumah 'bungalow' type B1 mempunyai 3 buah bilik tidur. Rumah ini dibina di atas tanah kepunyaan pemohon sendiri di EDR 4031, Lot 3372, Simpang 217-117-30, Kampong Senukoh, Mukim Labu, Temburong dengan harga sebanyak $40 ribu, iaitu $30 ribu adalah bantuan dari pihak Kerajaan melalui JAPEM dan $10 ribu lagi adalah dari YSHHB.

Projek pembinaan rumah ini bermula dengan Majlis Mendirikan Tiang Seri Rumah pada 2 Safar 1431 bersamaan dengan 18 Januari 2010 dan telah siap sepenuhnya pada penghujung bulan April lalu.

Sebelum ini Awang Jumat bin Abai dan keluarganya tinggal menumpang dengan menambah bahagian tepi rumah orang tuanya.

 
17 Mei 2010
KUMPULAN LEGENDA JUARA KONVENSYEN KKC JAPEM

Kumpulan Tunas ketika membentangkan projek di Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang peringkat JAPEM bagi tahun 2010

Kumpulan Legenda dengan tajuk pembentangan 'Kesulitan Membuat Ketetapan Yang Sewajarnya Keatas Penerima Pencen Umur Tua (PUT) Yang Didapati Tidak Bermastautin Di Negara Brunei Darussalam' muncul juara Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) Peringkat Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bagi tahun 2010.

Juara pertandingan merangkul Piala Pusingan, wang tunai sejumlah $500.00 beserta Sijil Penyertaan. Tempat kedua diraih oleh Kumpulan Usaha dengan meraih wang tunai sebanyak $350.00 beserta Sijil Penyertaan. Manakala Kumpulan Tunas dan Family United menerima hadiah saguhati.

Selaku juara, Kumpulan Legenda akan mewakili JAPEM ke Konvensyen KKC peringkat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang akan diadakan pada 2 Jun ini.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Misnah binti Bolhassan. Turut hadir Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini bin Abdullah, pegawai-pegawai kanan JAPEM.

Sebanyak 4 kumpulan menyertai Konvesyen KKC berkenaan dengan tujuan sebagai etika bagi semua warga Perkhidmatan Awam kerana KKC memerlukan para pekerja yang bekerja sebagai sebuah pasukan.

 

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]