.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2010 |  Bagi Bulan : :.       

26 November 2010

Para Menteri Mesyuarat Ke-7 AMMSWD  dan Ke-3 AMMSWD+3 diraikan di Majlis Perpisahan

MENTERI Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair semasa hadir di Majlis Makan Malam Perpisahan Bagi Menteri-Menteri dan Delegasi ke Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Bagi Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial Ke-7. (Foto : Ampuan Hj. Mahmud Ampuan Hj. Tengah)

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah hari ini meraikan para menteri yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial Ke-7 (AMMSWD Ke-7) dan AMMSWD+3 di Majlis Jamuan Perpisahan bertempat di Royal Berkshire Hall, Jerudong and Riding Club di sini.

Mesyuarat yang bertemakan 'Strengthening the Family Institution : Caring for the Eldery' yang membincangkan beberapa isu yang berkaitan dengan pengukuhan institusi keluarga dengan memberikan penekanan kepada isu warga emas di negara-negara ASEAN.

Antara lain deklerasi itu mengandungi pengakuan tentang impak sosial akibat perubahan dalam populasi warga emas dan mengambil langkah-langkah yang berpatutan untuk menangani keadaan ini dan menekankan kepentingan kerjasama di antara negara-negara ASEAN untuk mendokong dan mempedulikan serta mempromosikan kualiti kehidupan dan kesejahteraan warga emas serta menurunkan kadar risiko sosial yang dihadapi mereka.

Turut hadir di majlis perpisahan tersebut ialah Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan serta para delegasi mesyuarat.

Mesyuarat tersebut akan diadakan di Cambodia pada tahun 2012.

 

26 November 2010

Generasi muda perlu bersedia hadapi pelbagai implikasi sosial, ekonomi

MENTERI Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair ketika berucap di Sidang Media Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial (AMMSWD) Ke-7 dan AMMSWD +3. (Foto : Azmah Hj. Ahad)

Fenomena penuaan penduduk merupakan trend yang meningkat di rantau Asia Tenggara di mana rantau ini dan generasi mudanya perlu bersedia dalam menghadapi pelbagai implikasi sosial dan ekonomi sekarang dan di masa hadapan.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah semasa Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial Ke-3 +3 (3rd AMMSWD +3), di The Empire Hotel and Country Club, di sini.

Yang Berhormat selaku Pengerusi Bersama mesyuarat seterusnya berkata, fenomena itu perlu diutarakan melalui pendekatan holistik dengan penglibatan kerajaan, pertubuhan- pertubuhan bukan kerajaan, komuniti, keluarga, warga emas itu sendiri dan pertubuhan mereka.

"Saya percaya kita juga perlu melihat bagi kerjasama lebih rapat dengan sektor swasta melalui promosi tanggungjawab sosial korporat mereka dalam memastikan kebajikan warga emas," ujar Yang Berhormat.

Kata Yang Berhormat lagi, rantau Asia Tenggara juga menyedari akan perubahan dalam struktur dan fungsi sesebuah keluarga serta penuaan penduduk sebagai impak daripada peningkatan jangka hayat, modenisasi, pembandaran, penghijrahan serta peningkatan jumlah orang bujang dan ibu atau bapa tunggal.

"Fenomena ini membawa kepada peningkatan kesedaran bahawa keperluan warga emas tidak boleh dipenuhi oleh keluarga sahaja tanpa sokongan program-program dan perkhidmatan-perkhidmatan khusus," jelas Yang Berhormat.

Negara-negara anggota ASEAN, kata Yang Berhormat lagi, juga mengiktiraf peranan penting masyarakat dalam memberikan penjagaan dan sokongan bagi warga emas.

Yang Berhormat berkata, negara anggota ASEAN meluluskan beberapa pendekatan penjagaan berasaskan komuniti, termasuk pendekatan berasaskan rumah, dalam mempromosi kualiti hidup dan kebajikan warga emas.

Selain itu, tambah Yang Berhormat, ASEAN juga mengambil maklum akan perlunya meningkatkan kerjasama di kalangan negara anggota serta bersama rakan kongsi daripada negara-negara +3 sebagai respons kepada penuaan penduduk dan implikasinya. - Pelita Brunei

 
26 November 2010
AMMSWD +3 sokong perlindungan sosial warga emas

MENTERI Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair ketika berucap di Sidang Media Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial (AMMSWD) Ke-7 dan AMMSWD +3 Ke-7. (Foto : Azmah Hj. Ahad)

Menteri-Menteri dan Ketua-ketua Delegasi ke Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Kebajikan dan Pembangunan Sosial Ke-7 +3 (AMMSWD +3) yang berakhir hari ini antara lain bersetuju menyokong perlindungan sosial bagi warga emas, meningkatkan kualiti hidup mereka di samping penglibatan sosial dan ekonomi dalam masyarakat.
Mesyuarat juga bersetuju ke arah usaha mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan warga emas dan meningkatkan keupayaan keluarga menjaga warga emas.

Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menyatakan perkara itu pada Sidang Media di The Empire Hotel and Country Club, di sini.

Juga hadir Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Datin Hajah Adina binti Othman.

Selain dari itu jelas Yang Berhormat, mesyuarat itu juga mempersetujui usaha membantu membangunkan kapasiti di kalangan penyedia kesihatan utama, pekerja sosial, pemberi bantuan dan pekerja sukarela dalam memberikan penjagaan terhadap warga emas.

Juga dipersetujui kata Yang Berhormat ialah menggalakkan kesedaran dan keupayaan generasi muda untuk merespon isu-isu yang berkaitan dengan fenomena penuaan.

Perkara lain yang dipersetujui jelas Yang Berhormat ialah menggalakkan perkongsian yang rapat dengan masyarakat sivil, sektor swasta, persatuan warga tua dan warga emas itu sendiri untuk menggalakkan kesejahteraan warga tua.

Menurut Yang Berhormat, kenyataan bersama AMMSWD +3 juga mengesahkan tentang keutamaan yang telah ditetapkan dalam Blueprint Komuniti Sosio Budaya ASEAN dalam membangun masyarakat berorientasikan ASEAN dengan penekanan khusus mengenai langkah-langkah yang boleh menjaga kepentingan dan hak, memberikan keistimewaan yang sama di samping mengangkat kualiti dan taraf kehidupan wanita, kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya dan kumpulan yang mudah terjejas.

Yang Berhormat menjelaskan, rakan +3 juga memperakui pentingnya untuk membuat persiapan bagi menghadapi cabaran-cabaran dalam memberikan penjagaan yang cukup dan menolong warga emas yang memerlukan pertolongan sosial.


Dalam hal ini ujar Yang Berhormat, kenyataan bersama itu juga menekankan kepentingan kerjasama ASEAN +3 untuk memberikan penjagaan dan pertolongan serta mengalakkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan warga emas.

Yang Berhormat berkata, rakan +3 juga memuji rangka kerja pembangunan kebajikan sosial ASEAN, keluarga dan pembangunan dalam jangka waktu 2011-2015 yang dibina di atas keutamaan dan rangka kerja yang lalu serta komitmen bagi mencapai masyarakat ASEAN yang pemedulian bagi tahun 2015 di samping memfokus tentang skop kerjasama dalam kebajikan sosial dan pembangunan kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga tua dengan impak yang berpanjangan dalam negara dan serantau. - Pelita Brunei

 
25 November 2010
Bincang kepentingan warga emas

MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Hazair bergambar ramai bersama perwakilan dari anggota negara ASEAN di Majlis Perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial Ke-7 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial ke-3 + 3. (Foto : Azmah Hj. Ahad)

Beberapa isu berkaitan dengan pengukuhan institusi keluarga terutamanya warga emas telah dibincangkan di Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial Ke-7 (7th AMMSWD) dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial Ke-3 +3 (3rd AMMSWD +3), di Empire Hotel and Country Club di sini.

Mesyuarat dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Sempena mesyuarat ini laporan hasil dari Forum Kanak-Kanak ASEAN telah disampaikan oleh kanak-kanak yang mewakili setiap negara anggota ASEAN.

Mesyuarat yang diadakan setiap tiga tahun itu diadakan selama dua hari dan dihadiri oleh para perwakilan dari 10 buah negara ASEAN yang bertanggungjawab bagi kesejahteraan dan pembangunan sosial.

Selaras dengan tema 'Strengthening the Family Institution : Caring for the Elderly' mesyuarat antaranya membincangkan isu-isu mengenai kesedaran perkhidmatan-perkhidmatan bantuan termasuk pendekatan sukarelawan masyarkat dan tatacara-tatacara lain bagi penjagaan warga emas di samping mempromosi gaya hidup sihat bagi belia supaya mereka bersedia menghadapi isu-isu berkaitan dengan hidup di hari tua.

Sebagai susulan dari mesyuarat itu , 3rd AMMSWD +3 juga akan dihadiri oleh rakan strategik ASEAN iaitu Republik Rakyat China, Jepun dan Korea selain negara anggota ASEAN sendiri. - Pelita Brunei

 
23 November 2010
Menjaga warga emas tanggungjawab sosial

MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Hazair ketika berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial Ke-7 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial ke-3 + 3. (Foto : Azmah Hj. Ahad)

Kerajaan di Negara Brunei Darussalam meletakkan kepentingan yang tinggi terhadap isu-isu warga emas dan memastikan mereka mendapat manfaat dari perkembangan sosioekonomi negara secara keseluruhan.

Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial Ke-7 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial Ke-3 +3, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah berkata menjadi Melayu Islam Beraja dan menjadi sebahagian warisan Asia secara am, kebajikan warga tua dan menghormati mereka dianggap sebagai tanggungjawab penting keluarga secara langsung.

"Sistem keluarga luas masih diamalkan di mana ibu bapa, nenek dan saudara lain masih hidup bersama di bawah satu bumbung. Ianya tidak memerlukan rumah warga emas atau institusi penjagaan bagi warga emas di Negara Brunei Darussalam," jelas Yang Berhormat di majlis yang diadakan di Empire Hotel dan Country Club, di sini.

Oleh itu, negara ini jelas Yang Berhormat cuba menanam rasa cinta dan kasih sayang terhadap warga emas di kalangan kanak-kanak dan mendidik seluruh masyarakat untuk menjaga warga emas sebagai satu tanggungjawab sosial.

"Kami mengingatkan anak-anak kami akan pengorbanan warga emas yang membesarkan mereka. Adalah tidak boleh diterima bahawa warga emas di masa lalu boleh menjaga dan membesarkan 10 orang anak, manakala anak-anak hari ini tidak dapat atau tidak mampu membalas jasa orang tua ketika mereka sudah berusia," ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat berkata negara-negara sepatutnya sekarang melaksanakan dasar-dasar penyertaan aliran dan dasar kehidupan yang menyokong penuaan yang aktif.

Menurut Yang Berhormat pengetahuan, kemahiran dan pengalaman warga emas boleh digunakan sebaiknya untuk memberitahu kepada generasi lebih muda akan kepentingan nilai-nilai keluarga yang dibina oleh setiap masyarakat, iaitu saling hormat-menghormati serta mengongsikan tanggungjawab dan kerjasama.

Tanggungjawab ibu bapa dalam memberi penjagaan jelasnya sepatutnya dilihat dari aspek rasa bersyukur dan timbal balik dan untuk membolehkan perkara itu Yang Berhormat berpendapat ianya memerlukan perubahan cara berfikir.

"Halangan-halangan berdasarkan diskriminasi patut dihapuskan. Sepatutnya ada kerjasama antara generasi dalam menetapkan dasar-dasar bagi warga emas," terang Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya berkata adalah penting bagi dasar-dasar berpremiskan pada penuaan yang aktif dan penyertaan aktif warga yang lebih tua dalam seluruh aspek kehidupan. - Pelita Brunei
 
24 November 2010
Delegasi AMMSWD diraikan di Majlis Makan Malam

SEBAHAGIAN dari delegasi Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN Mengenai Hal Ehwal Sosial dan Pembangunan [AMMSWD] yang hadir di Majlis Makan. (Foto : Mohd. Zul-Izzi Hj. Duraman)

Delegasi ke Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN Mengenai Hal Ehwal Sosial dan Pembangunan [AMMSWD] diraikan dalam Majlis Makan Malam berlangsung di Empire Hotel and Country Club, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Turut hadir Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman, Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Timbalan Setiausaha Tetap serta perwakilan asing di Negara Brunei Darussalam.

Majlis Makan Malam itu memberikan peluang kepada para menteri dan ketua delegasi berbincang secara tidak rasmi mengenai isu-isu semasa dalam bidang pembangunan sosial dan masyarakat.

SALAH satu persembahan pentas yang dipersembahkan di Majlis Makan Malam Bagi Meraikan Menteri-menteri dan para delegasi yang menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN Mengenai Hal Ehwal Sosial dan Pembangunan [AMMSWD].
(Foto : Mohd. Zul-Izzi Hj. Duraman)

Majlis tersebut dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisi dan nyanyian lagu asli Brunei. - Pelita Brunei
 
23 November 2010
Brunei Darussalam kendalikan Mesyuarat Persediaan bagi Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial

SETIAUSAHA Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal semasa mempengerusikan Mesyuarat Ke-7 Persediaan Pegawai-pegawai Kanan bagi Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial dan
Mesyuarat Ke-3 Persediaan Pegawai-pegawai Kanan bagi Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial +3

Mesyuarat Persediaan Pegawai-pegawai Kanan Bagi Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial Ke-7 dan Mesyuarat Persediaan Pegawai-pegawai Kanan Bagi Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial Ke-3+3 berlangsung selama dua hari, bermula hari ini di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Seramai kira-kira 60 delegasi dari negara anggota ASEAN, termasuk dari pihak Sekretariat ASEAN menyertai mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal.

Mesyuarat tersebut adalah sebagai persediaan bagi perbincangan dalam Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Bagi Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial Ke-7 dan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Bagi Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial Ke-3+3 yang akan diadakan pada 25 hingga 26 November ini di The Empire Hotel and Country Club, Jerudong.

Mesyuarat itu akan meneliti dan membincangkan beberapa status projek yang telah dirancangkan oleh beberapa ahli negara ASEAN; draf Rangka Kerja Strategi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan bagi Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial 2011-2015 dan cadangan bagi Deklarasi Negara Brunei Darussalam - Mengukuhkan Institusi Keluarga: Pemedualian Terhadap Warga Emas.

Dalam mesyuarat itu nanti, laporan hasil Forum Badan-badan Kerajaan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Bagi Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial Ke-5 akan disampaikan oleh Pengerusi Bersama forum berkenaan. - Pelita Brunei

 
22 November 2010
60 peserta sertai 5th ASEAN NGO-GO Forum Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial

SETIAUSAHA Tetap, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Awang Haji Ampal (kiri) selaku Pengerusi Bersama merasmikan Forum Badan-Badan Kerajaan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan bagi Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial Ke5 (5th GO-NGO) di Hotel Antarabangsa Rizqun. (Foto: Mohd. Sahrizal Hj. Said)

Sejumlah 60 orang peserta yang mewakili Badan-badan Kerajaan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negara-negara ASEAN, International Social Council Welfare (ICSW), HelpAge International termasuk Sekretariat ASEAN menyertai Forum Badan-Badan Kerajaan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan bagi Kesejahteraan dan Pembangunan Sosial Ke-5 (5th ASEAN GO-NGO Forum). Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Awang Haji Ampal selaku Pengerusi Bersama forum merasmikan forum tersebut di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, di sini.

Forum bersempena dengan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN yang bermula pada 25 hingga 26 November tahun ini yang bertemakan "Strengthening the Family Institution: Caring for the Elderly" itu antaranya membincangkan tema forum selaras ke arah mengukuhkan institusi keluarga melalui penjagaan warga emas.

Semasa forum tersebut pihak ICSW dan pihak HelpAge International dijangka akan menyampaikan laporan mengenai situasi-situasi isu dan cabaran yang berkaitan dengan warga emas di negara-negara ASEAN.

Forum bertujuan untuk mengongsikan pengalaman peserta-peserta di negara masing-masing yang berkaitan dengan isu perbincangan mesyuarat.

Turut hadir wakil Majlis Kesejahteraan Masyarakat Brunei Darussalam, Dayang Hajah Mordiah binti Haji Jackia, pegawai kanan KKBS, pegawai kanan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) serta para delegasi forum. - Pelita Brunei

 
18 November 2010
Majlis Doa Kesyukuran Sempena Berpindah Ke KRK, Belimbing

Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman sama-sama membaca Surah Yaa Sin beramai-ramai di Majlis Doa Kesyukuran sempena berpindah Penguni ke Kompleks Rumah Kebajikan Belimbing

Golongan remaja yang menghadapi masalah sosial sentiasa dipeduli dan dilindungi oleh pihak Kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Sehubungan dengan itu Bangunan Kompleks Rumah Kebajikan Belimbing yang menelan belanja lebih kurang BND16 juta yang telah didirikan di atas tanah seluas 20 ekar setelah siap dibina. Kompleks ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan dan boleh menampung seramai 300 penghuni/residen dalam satu masa telah mula digunakan pada 5 Oktober 2010.

Sempena perpindahan penghuni/residen ke Kompleks baru ini, satu Majlis Doa Kesyukuran diadakan di surau kompleks berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat, Pemangku Menteri KKBS, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman, Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal, Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim; Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini Abdullah; Pegawai-pegawai kanan KKBS dan JAPEM.

Majlis bermula dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah dan Sembahyang Sunat Hajat yang diimamkan oleh Guru Agama di Kompleks tersebut, Ustaz Haji Mataim bin Ahad. Sementara itu bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai dipimpin oleh Ketua Guru Agama, Kompleks tersebut, Ustaz Mohd Shahrin bin Haji Sulaiman kemudian diikuti doa selamat dan kesyukuran.

Kompleks Rumah Kebajikan ditubuhkan pada tahun 1982 dan merupakan satu-satunya Institusi yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Kerajaan bagi memberikan perlindungan, pemulihan dan bimbingan kepada individu atau remaja-remaja yang menghadapi masalah sosial.

Antara kemudahan yang terdapat di Kompleks Rumah Kebajikan Belimbing termasuk surau, dewan serbaguna, blok akademik, dewan makan, blok rekerasi, bilik kaunseling dan blok pentadbiran.

Kemasukan mereka ke Kompleks ini adalah berdasarkan kepada beberapa akta-akta seperti Perintah Kanak-Kanak dan Orang Muda 2006 (CYPO), Akta Perlindungan Perempuan-Perempuan dan Gadis-Gadis 1972.

 
18 November 2010
SMS Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi dan Mentawai Dilancarkan

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman
dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman merasmikan SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi dan Mentawai

Diatas keprihatinan terhadap penderitaan mangsa-mangsa bencana merapi dan Mentawai di Indonesia , Jawantankuasa Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi dan Mentawai telah melancarkan Pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk tabung berkenaan di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada pagi tadi.

Hadir melancarkan SMS Brunei Prihatin itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman.

Projek SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi dan Mentawai adalah anjuran bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Jabatan Radio dan Televisyen Brunei (RTB), DST-Group dan B-Mobile Communication Sdn Bhd. Sebagai salah satu usaha untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menghulurkan derma kepada tabung berkenaan yang telah ditubuhkan pada 3 November 2010.

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ini ialah Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Md Mahdi bin Pehin Orang Kaya DiGadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi dan Mentawai.

Kutipan derma melalui SMS ini akan bermula pada hari ini 18 November 2010 sehingga 31 Disember 2010. Oleh yang demikian kepada orang ramai yang berhasrat untuk menderma bolehlah menderma melalui SMS yang disediakan dengan menaip BANTU (tanpa jarak) dan menaip jumlah yang di kehendaki iaitu 1, 5, 10, 15 atau 20 sebagai contoh BANTU20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan B-mobile atau melalui WAP Portal.

Oleh yang demikian, Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urusetia Tabung mengalu-alukan orang ramai untuk menghulurkan derma melalui kemudahan yang disediakan seperti di atas pada tempoh yang dinyatakan. Mudah-mudahan segala sumbangan yang dihulurkan akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah Subahanahu Wataala jua, Amin.

 
10 November 2010
Flat Sentosa diserahkan kepada JAPEM

Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini Abdullah menerima penyerahan Anak-anak Kunci Flat Sentosa daripada Pegawai Eksekutif Pengurusan Bangunan, Jabatan Kerja Raya, Dayang Hajah Mastura binti Haji Sulaiman

Flat Sentosa, Jalan Tasek Lama di ibu negara yang telah siap dibaikpulih dengan menelan belanja sebanyak BND980,546.00 diserahkan hari ini kepada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Anak-Anak Kunci Flat tersebut berlangsung pagi tadi di flat berkenaan.

Anak-anak kunci flat berkenaan diserahkan oleh Pegawai Eksekutif Pengurusan Bangunan, Jabatan Kerja Raya, Dayang Hajah Mastura binti Haji Sulaiman kepada Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini Abdullah.

Kerja-kerja baikpulih flat tersebut telah bermula pada Mac 2009 dan siap sepenuhnya pada Oktober 2010 yang dilaksanakan oleh Syarikat AT&S Sdn Bhd.

Flat setinggi 5 tingkat tersebut menyediakan 43 buah unit dengan mempunyai 2 buah bilik tidor, sebuah dapor, kamar mandi dan ruang tamu bagi setiap unit berkenaan.

Bagi memberkati majlis doa selamat dibacakan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat JAPEM, Awang Haji Ahad bin Haji Hassan.

 
3 November 2010
Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi dan Mentawai Ditubuhkan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair
bin Haji Abdullah ketika hadir di mesyuarat penubuhan Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi dan Mentawai

Negara Brunei Darussalam beserta dengan negara-negara dunia lain amat pihatin dengan penderitaan mangsa-mangsa bencana Gunung Merapi dan tsunami Mentawai.

Sehubungan dengan itu, Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi dan Mentawai telah ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul derma berbentuk kewangan bagi meringankan kesengsaraan dan beban penderitaan negara berkenaan.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyumbangkan derma seangkat-angkat hati kepada Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi dan Mentawai yang telah ditubuhkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan yang bermesyuarat di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Antara yang hadir di mesyuarat tersebut Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Mempengerusikan mesyuarat sulung tabung berkenaan itu Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal bersama Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Awang Haji Md Mahdi bin Pehin Orang Kaya DiGadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman.

Penubuhan tabung berkenaan antara lain untuk mengumpul derma berbentuk kewangan seangkat-angkat hati daripada rakyat dan penduduk di negara ini bagi disumbangkan kepada penduduk yang dilanda oleh mangsa bencana Gunung Merapi dan tsunami Mentawai.

Pada 25 Oktober 2010, satu kejadian gempa bumi dengan magnitude kekuatan 7.7 skala Richter disekitar perairan Sumatera Barat, Indonesia. Gempa bumi tersebut telah menyebabkan Tsunami setinggi 3m untuk melanda kepulauan Mentawai, Indonesia.

Kejadian itu telah menyebabkan banyak rumah pemduduk ditenggelami air, kerosakan kepada tanam-tanaman, mengorbankan beribu-ribu binatang ternakan, memutuskan dan menjejaskan keperluan asas seperti bekalan elektrik, jalan raya, bekalan air, sanitasi dan makanan serta perlindungan.

Banjir Tsunami tersebut setakat ini telah meragut sekurang-kurangnya 408 nyawa, menjejaskan 20,000 orang manakala hampir 4,000 penduduk telah kehilangan tempat tinggal. Sementara 300 orang penduduk lagi masih hilang dan belum dijumpai.

Manakala pada pada 26 Oktober 2010, Gunung Merapi yang telah menunjukkan tanda-tanda letusan selama 3 hari sebelumnya, kini mencetuskan letusan yang lebih kuat dan menghasilkan sisa mineral panas dan aliran awan panas (letupan lahar) bersama kolom asap membumbung ke atas setinggi 1.5km dari puncaknya.

Luncuran debu panas dan lahar yang mengarah ke sektor Barat Daya dan sektor Selatan-Tenggara dari Gunung Merapi telah Menyebabkan kira-kira 50,000 penduduk dikerahkan untuk pindah ke kem-kem perlindungan sementara. Kejadian ini juga telah meragut sekitar 40 korban jiwa yang terperangkap didalam awan dan debu panas yang menyelubungi kawasan persekitaran gunung berapi tersebut.

Sehubungan itu rakyat, penduduk dan orang ramai di negara ini dialu-alukan menghulurkan bantuan derma kewangan seangkat-angkat hati kepada tabung-tabung derma yang akan ditempatkan di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat seluruh negara, gedung-gedung perniagaan, bangunan kerajaan dan awam.

Di samping itu pihak DST Communication dan B.mobile Sendirian Berhad sedikit masa lagi akan membuka tabung derma melalui SMS dan beberapa kegiatan amal dan berkebajikan juga akan menyusul bertujuan bagi mengisi tabung tersebut. Tabung-tabung kutipan derma akan disediakan di masjid-masjid dan surau-surau, bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan swasta dan bangunan awam termasuklah bangunan kerajaan di seluruh negara bertujuan memudahkan orang ramai menghulurkan derma.

Kutipan tabung akan dijalankan selama dua bulan bermula hari ini hingga 3 Januari 2011 akan datang dan orang ramai yang ingin menyumbangkan segera bolehlah menghantarnya terus ke Urusetia Tabung Tingkat 2 Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan KKBS di Jalan Kebangsaan atau menelefon ke talian 2380664/667/668.

 
3 November 2010
Tabung Mangsa Bencana Banjir Pakistan berjaya kutip sejumlah BND244,878.91

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair
bin Haji Abdullah, selaku Penasihat Bersama Tabung menerima sumbangan derma daripada
Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat
B.Moblie Sdn Bhd, Hajah Noorul Baiyinah binti Haji Kassim

Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Banjir Pakistan sejak 16 Ogos yang lalu sehingga ke hari ini telah berjaya mengutip sebanyak BND244,878.91.

Sementara itu pada hari ini tabung berkenaan telah menerima sejumlah BND145,973.73 dari pelbagai agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta, persatuan-persatuan dan NGO's di satu Majlis Penyerahan Derma yang dilangsungkan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Semua derma berkenaan telah diserahkan kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah, selaku Penasihat Bersama Tabung.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) menyumbangkan derma sejumlah BND50,000.00 dan Kompleks YSHHB (kutipan dari orang ramai) dengan jumlah BND7,040.81. Kedua-dua derma berkenaan telah diserahkan oleh Pengarah Urusan YSHHB, Dato Paduka Awang Haji Ali Hashim bin Haji Daud.

Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dengan jumlah BND10,080.00 telah diserahkan oleh Leftenan Kolonel Haji Abd. Aziz bin Haji Abd.Rahman.

Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama berjumlah BND23,507.78 telah diserahkan oleh Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Abdul Kahar bin Haji Hussin.

Jabatan Pengajian Islam dengan jumlah BND7,444.31 telah diserahkan oleh Penguasa Pelajaran Ugama, Awang Haji Idris bin Haji Aji.

Jabatan Belia dan Sukan dengan jumlah BND7,292.44 telah diserahkan oleh Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Muhammad bin Penglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah.

Kementerian Pembangunan dengan jumlah BND2,157.60 telah diserahkan oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Awang Haji Ishak bin Haji Abu Hanifah.

Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan jumlah BND520.00 telah diserahkan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas, Ak Kamal Ariffin bin Pg Haji Md Yassin.

Jabatan Daerah Belait dengan jumlah BND1,778.00 telah diserahkan oleh Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas, Karnizam bin Haji Abu Bakar.

Jabatan Daerah Tutong dengan jumlah BND2,315.80 telah diserahkan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat 2, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya.

Jabatan Daerah Temburong dengan jumlah BND486.52 telah diserahkan oleh Penolong Pegawai Kerja Tingkat 1, Umaimah binti Haji Mohamad.

Persatuan Bank-bank dengan jumlah BND19,093.02 telah diserahkan oleh Pengerusi Persatuan Ban-Bank, AWang Abdul Razak bin Abdul Malik.

DST Group Communication Sdn Bhd dengan jumlah BND41,589 telah diserahkan oleh Pengurus Am Kumpulan Korporat DST Group Sdn Bhd, Haji Matnarudin bin Abul Malik iaitu derma yang disumbangkan oleh orang ramai melalui SMS Brunei Prihatin.

B.Mobile Sdn Bhd dengan jumlah BND5,179 telah diserahkan oleh Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat B.Moblie Sdn Bhd, Hajah Noorul Baiyinah binti Haji Kassim, iaitu derma yang disumbangkan oleh orang ramai melalui SMS Brunei Prihatin.

Persatuan PEKERTI dengan jumlah BND3,329.50 telah diserahkan oleh Pengerusi Persatuan berkenaan, Datin Hajah Kamariah binti Orang Kaya Indera Perkasa Haji Shahri.

Persatuan PENIAGANITA dengan jumlah BND2,000 telah diserahkan oleh Timbalan Yang Dipertua Persatuan berkenaan, Pg Hajah Habsah binti Pg Bendahara Pg Anak Mohd Yassin.

Giant Hypermart Tasek Rimba dengan jumlah BND1,441.44 telah diserahkan oleh Pengurus Besar Am Pasar Raya tersebut, Abdul Latip bin Isnin.

Jawatankuasa Tabung Kemanusiaan Mangsa Banjir Pakistan dengan amat sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penderma di negara ini sama ada secara individu, kumpulan, pertubuhan, badan-badan atau syarikat-syarikat di atas sumbangan derma yang telah diberikan kepada tabung tersebut. Mudah-mudahan dengan sumbangan ikhlas yang telah dihulurkan para penderma sekalian akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]