PEMANGKU Pengurus
Jabatan Komunikasi Korporat, Tabung Amanah Pekerja (TAP), Awang Rosli bin
Haji Haron semasa menyampaikan taklimat mengenai Skim TAP, Skim Persaraan
Caruman Tambahan (SCP) dan Perancangan Kewangan kepada Pegawai dan
Kakitangan JAPEM
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) melalui
Bahagian HRD dan PR dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah
mengadakan taklimat mengenai Skim TAP, Skim Persaraan Caruman Tambahan (SCP)
dan Perancangan Kewangan kepada Pegawai dan kakitangan JAPEM di Dewan Citra
Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada petang tadi.
Taklimat disampaikan oleh Pemangku Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat,
TAP, Awang Rosli bin Haji Haron, menyentuh mengenai sejarah penubuhan TAP,
kadar caruman dan skim pengeluaran dan manfaat skim berkenaan.
Skim TAP katanya, ditubuhkan 1 Januari 1993 dengan
tujuan untuk membantu rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam
untuk membuat perancangan yang teratur untuk hari persaraan.
Menurutnya, mengikut undang-undang di bawah Akta TAP 167, dimestikan
mencarum 5 peratus dari gaji pokok mereka dan 5 peratus dari pihak majikan.
Caruman bulanan sebanyak 10 peratus tersebut tambahnya, adalah bertujuan
untuk membantu ahli-ahli mempunyai simpanan tetap dalam membantu
kesejahteraan di hari persaraan mereka, dana ahli boleh dikeluarkan melalui
enam skim pengeluran seperti mana telah ditetapkan dalam Akta TAP 167 iaitu
pengeluaran 55 tahun, pra persaraan 50 tahun, membeli atau membina rumah
baru, hilang upaya, hijrah ke negara lain dan hak waris.
Beliau juga menjelaskan bahawa objektif utama Skim SCP adalah untuk
memastikan semua peserta Skim SCP yang telah memenuhi syarat-syarat yang
ditetapkan, menerima bayaran pendapatan bulanan minimum sebanyak BND150
selepas mencapai umur persaraan mandatori iaitu genap 60 tahun.
Melalui skim tersebut serta bayaran bulanan sebanyak BND150 dan dicampur
dengan bayaran pencen tua (OAP) sebanyak BND250 yang dihulurkan oleh
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada masa ini, para pesara akan menerima
pendapatan bulanan minimum berjumlah keseluruhan sebanyak BND400.
Beliau juga menerangkan bahawa melalui Skim SCP, pekerja dan majikan
dikehendaki untuk membuat caruman bulanan sebanyak 3.5 peratus dari gaji
pokok pekerja dan 3.5 peratus dari pihak majikan.
Caruman minimum dari pihak majikan ialah BND17.50 berdasarkan gaji BND500
dan caruman maksimum ialah BND98 berdasarkan gaji BND2800.
Manakala taklimat perancangan kewangan telah disampaikan oleh Perancangan
Kewangan Bank BICB Capital, Dayang Isnora binti Haji Minudin, yang telah
memberi penerangan dan kesedaran para peserta mengenai kepentingan
perancangan kewangan dan bagaimana untuk memulakannya dalam usaha mengatur
perbelanjaan yang bersistem untuk mencapai matlamat seseorang.
28 Februari 2011
Warga JAPEM Diingati Mengenai
Bahaya Rasuah
Taklimat mengenai 'Amalan
Baik Pengendalian Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam' disampaikan oleh
Pemangku Penyiasat Khas Kanan, Dk Hajah Norazlina binti Pg Haji Othman
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) melalui
Bahagian HRD dan PR dengan kerjasama Biro Mencegah Rasuah (BMR) pagi tadi
telah mengadakan taklimat mengenai 'Amalan Baik Pengendalian Hadiah Dalam
Perkhidmatan Awam'.
Antara yang menghadir taklimat yang diadakan di Dewan Citra Budaya,
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan itu Pemangku Penolong Pengarah JAPEM,
Awang Haji Ahad bin Haji Hassan. Turut hadir Pemangku Penolong Pengarah
Kanan, Ketua Bahagian Pencegahan BMR, Awang Haji Abdul Rahman bin Haji
Tamin.
Hadir menyampaikan taklimat daripada BMR ialah Pemangku Penyiasat Khas Kanan,
Dk Hajah Norazlina binti Pg Haji Othman.
Dalam taklimatnya turut menjelaskan mengenai kesalahan-kesalahan di bawah
Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131) di mana adalah menjadi kesalahan bagi
pegawai Kerajaan untuk meminta atau menerima hadiah daripada sesiapa sahaja
dengan secara tidak jujur sebagai satu dorongan atau ganjaran untuk
melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan berhubung dengan hal-hal
atau urusan orang atasannya [Bab 5(a) dan Bab 6(a)] di mana mereka yang
didapati bersalah akan menerima hukuman denda BND30,000 dan penjara selama
tujuh tahun.
Sementara itu di bawah Penggal 22 Kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Hukuman
Jenayah katanya, adalah menjadi kesalahan bagi pegawai kerajaan untuk
menerima atau memperolehi sebarang hadiah bagi melakukan atau tidak
melakukan mana-mana kerja rasminya (Bab 161) dan mereka yang sabit kesalahan
boleh dihukum penjara bagi satu tempoh yang tidak melebihi tujuh tahun dan
denda.
Beliau turut menekankan bahawa sebarang hadiah yang diterima hendaklah
diserah dan diisytiharkan kepada pihak berkuasa iaitu jika penerima terdiri
dari Setiausaha Tetap atau Timbalan Setiausaha Tetap pihak berkuasa ialah
Menteri atau Timbalan Menteri kepada pegawai berkenaan.
Sementara itu bagi penerima terdiri dari Ketua Jabatan atau agensi hendaklah
diserahkan ke pihak berkuasa iaitu Setiausaha Tetap atau Timbalan Setiausaha
Tetap kementerian berkenaan.
Bagi penerima Pegawai dan Kakitangan Jabatan atau agensi diberikan kepada
pihak berkuasa iaitu Ketua Jabatan atau agensi.
26 Februari 2011
Pusat Bahagia Adakan Sambutan
Maulud Nabi Muhammad
Ceramah "Motivasi Orang Berkeperluan
Khas: Jangan Jadi Bahan Kepentingan Bagi Pihak Yang Tidak Bertanggungjawab"
disampaikan oleh penceramah dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Jufri
bin Haji Hidup
Pusat Bahagia Brunei Muara, Jabatan
Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
mengadakan Majis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis Pemangku Penolong Pengarah JAPEM, Awang
Haji Ahad bin Haji Hassan.
Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan Pusat Bahagia Brunei Muara.
Majlis yang berlangsung di Dewan Darul Imtiyaz, Pusat Bahagia Brunei Muara
itu dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah dan seterusnya persembahan
nasyid 'Rabiulawal' dari murid-murid lelaki pusat berkenaan. Ceramah
bertajuk "Motivasi Orang Berkeperluan Khas: Jangan Jadi Bahan Kepentingan
Bagi Pihak Yang Tidak Bertanggungjawab" disampaikan oleh penceramah dari
Pusat Da'wah Islamiah, Awang Haji Jufri bin Haji Hidup.
Di majlis itu Dikir Marhaban juga dipersembahkan oleh pegawai-pegawai dan
kakitangan serta murid-murid Pusat Bahagia Brunei Muara.
14 Februari 2011
PESERTA PROGRAM PERKASA TERIMA
SIJIL
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan,
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja
Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah bergambar ramai bersama
dengan peserta Program Perkasa
Majlis Penyampaian Sijil Latihan
Program Perkasa telah disempurnakan pada petang tadi oleh Menteri Kebudayaan,
Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato
Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah di Pusat Pembangunan Belia, Jalan
Lebuhraya Muara-Tutong.
Program ini merupakan salah satu program kemudahan perniagaan untuk membantu
golongan orang-orang susah untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan
untuk mengubah cara hidup kearah yang lebih baik. Seramai 19 orang peserta
yang terdiri daripada 6 orang lelaki dan 13 orang perempuan telah pun
mengikuti kursus wajib iaitu Latihan Asas Keusahawanan dan Program
Pembangunan Diri yang diadakan selama 16 hari bermula 03 Januari 2011 hingga
27 Januari 2011 yang lalu.
Matlamat utama majlis ini diadakan ialah untuk memberikan satu pengiktirafan
dan penghargaan kepada para pelatih kerana telah berjaya dan
bersungguh-sungguh menamatkan kursus jangka pendek semata-mata untuk
mendapatkan kemahiran dalam asas keusahawanan dan perniagaan seperti
penubuhan perniagaan kecil, perancangan perniagaan, pengurusan kewangan dan
pengurusan sumber tenaga manusia.
Para peserta juga diberi kesempatan untuk mempraktikkan apa yang mereka
pelajari melalui bengkel berkumpulan dimana mereka telah dibimbing dalam
penyediaan penyata-penyata kewangan dan juga rancangan perniagaan. Di
samping itu, para peserta juga mengikuti Program Pembangunan Diri melalui
ceramah-ceramah keugamaan serta bengkel kepimpinan dan ketahanan minda.
Oleh itu, adalah diharapkan peserta-peserta progran akan dapat mengamalkan
pengajaran, pembelajaran yang telah diperolehi semasa menjalankan perniagaan
kelak khususnya untuk meningkatkan disiplin diri dan etika kerja
masing-masing supaya menjadi insan-insan yang lebih proaktif, berinisiatif,
berdaya maju dan berdaya saing dalam dunia perniagaan sebenar di masa akan
datang.
14 Februari 2011
Meningkatkan Patriotisme Di
Kalangan Murid Sekolah
Pemangku Pengarah
JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan ketika mengagihkan bendera
kecil
sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-27 kepada murid-murid Sekolah Rendah
Tungku, Gadong
Lebih 500 helai bendera kecil
Negara Brunei Darussalam dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah
diagihkan pagi tadi kepada murid-murid Sekolah Rendah Tungku, Gadong.
Majlis Pelancaran Pengagihan Bendera Kecil (Meja) bagi murid-murid sekolah
itu disempurnakan oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti
Haji Bolhassan yang diadakan di Dewan sekolah tersebut.
Turut sama mengagihkan bendera kecil (meja) sempena Sambutan Ulang Tahun
Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-27, Guru Besar sekolah tersebut,
Cikgu Suhaili bin Haji Jafar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat kemudian diikuti dengan
menyanyikan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan
Sultan', seterusnya ucapan alu-aluan Guru Besar sekolah tersebut.
Acara kemuncak pada pagi tadi ialah pengagihan bendera oleh tetamu kehormat
kepada murid-murid sekolah tersebut.
Tetamu kehormat kemudian melawat kelas-kelas yang telah diletakkan bendera
di atas meja pelajar sambil beramah mesra bersama mereka.
5 Februari 2011
PUSAT BAHAGIA BRUNEI MUARA RAIKAN
SAMBUTAN HARI JADI
Persembahan Tarian
Singa merupakan acara kemuncak di Majlis Sambutan Hari Jadi Bagi Murid dan
Pelatih di Pusat Bahagia, Brunei Muara
Seramai 26 orang murid dan pelatih di Pusat Bahagia,
Daerah Brunei Muara yang lahir dalam bulan Januari dan Februari diraikan
pada pagi tadi. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Timbalan
Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Hajah Noridah binti
Abd Hamid.
Acara dimulakan dengan pembukaan rasmi dewan Serbaguna, Darul Imtiyaz oleh
Tetamu Kehormat. Majlis Sambutan Hari Jadi diserikan nyanyian oleh beberapa
orang murid dan pelatih di pusat berkenaan.
Acara kemuncak ialah persembahan Tarian Singa oleh pelajar-pelajar Sekolah
Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan.
Murid dan pelatih yang menyambut hari jadi mereka menerima sumbangan kek
hari jadi daripada Dayang Jacky Lim. Sementara itu sumbangan 'goodie bags'
disumbangkan oleh Dayang Chong Kui Yoon dan Dayang Soh Nyet Lan.
Pusat Bahagia mengalu-alukan sumbangkan orang ramai sama ada dalam bentuk
material untuk sama-sama memeduli orang berkeperluan khas. Orang ramai yang
ingin untuk membuat sumbangan boleh berhubung terus ke pusat berkenanan atau
melalui talian 2331113 sewaktu pejabat.