|
Dalam usaha untuk mendokong deklarasi dan Konvensyen
Hak Asasi Kanak-Kanak di Negara ini, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM),
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menganjurkan Sambutan Hari
Kanak-Kanak Kebangsaan. Hadir selaku tetamu
kehormat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang
Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.
Acara bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang
kemudiaannya diikuti dengan doa Selamat.
Berucap pada majlis itu ialah Pemangku Pengarah
Pembangunan Masyarakat, Yang Mulia Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhasan
yang juga selaku pengerusi majlis.
Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan,
Belia dan Sukan menyampaikan Ucapan Perasmian.
Pada majlis ini Yang Berhormat menyampaikan Sijil
Penghargaan kepada penaja utama iaitu, Baiduri Bank dan penaja-penaja
lainnya yang terdiri dari Brunei Press, Sheng Yu Trading Company, Kwang Wei
Advertising & Displays, Air Cat Forwarding dan KFC (B) Sdn Bhd.
Majlis diteruskan dengan acara senamrobik yang juga
disertai oleh tetamu kehormat dan tetamu-tetamu lainnya.
Dalam majlis ini 600 pelajar sekolah rendah
menerima “goodies” mereka yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Datin; Setiausaha-Setiausaha Tetap KKBS,
Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal dan Yang Mulia Dato
Paduka Awang Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar; Timbalan Setiausaha Tetap
KKBS Yang Mulia Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Pekerma Setia Dato Paduka
Haji Hashim; dan Pengurus Am Baiduri Bank, Awang Pierre Imhof.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
dan para tetamu juga berkesempatan menyaksikan pameran mengenai JAPEM
termasuk perkhidmatan-perkhidmatan yang disalurkan oleh jabatan itu kepada
orang ramai. Juga diketengahkan dalam pemeran itu ialah aktiviti-aktiviti
JAPEM yang melibatkan golongan kanak-kanak.
Acara kemuncak ialah “Amazing Kids Race” yang
menyediakan pelbagai bentuk permainan kepada para peserta. Selain dari itu,
pihak penganjur juga menyediakan pelbagai aktiviti pangkalan bagi penyertaan
golongan kanak-kanak.
Sambutan Hari Kanak-Kanak diraikan secara tahunan
oleh warga dunia setiap 20 November. Sambutan bertujuan bagi mempromosikan
perlindungan, kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak, memberikan kesedaran
dan pengetahuan kepada orang ramai terutama kanak-kanak itu sendiri mengenai
hak-hak mereka (kanak-kanak), menambah pengetahuan orang ramai mengenai
kovensyen hak kanak-kanak dan bagi membanteraskan pengeksploitasian
kanak-kanak.
Sambutan pada tahun ini bertemakan HAK UNTUK
BERMAIN. Tema ini adalah sebagai lanjutan daripada sambutan yang penah
diadakan sebelum ini dan diguna pakai oleh 'United Nations International
Children’s Emergency Fund' atau pun Tabung Kecemasan kanak-kanak
Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu, UNICEF bagi sambutan Hari
Kanak-Kanak 2008. Tema ini adalah selaras dengan konvensyen mengenai Hak
Kanak-Kanak, CRC yang antara lain menekankan mengenai dengan perlunya
kanak-kanak untuk diberi peluang bermain kerana aktiviti itu dapat
meningkatkan perkembangan pertumbuhan mereka. Sehubungan dengan itu, bentuk
permainan atau pun “games” yang disediakan oleh Jawatankuasa Penganjur pada
hari ini bukan hanya semata-mata untuk memeriahkan majlis tetapi sekaligus
memberI peluang kepada mereka untuk berinteraksi, belajar dan mengembangkan
minda.
Juga hadir ialah Ahli Majlis Masyuarat Negara, Yang
Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Ahad; Pemangku Pegawai Daerah
Temburong, Yang Mulia Awang Haji Haris bin Othman; Ketua-Ketua Cawangan
Jabatan di Daerah Temburong; Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua
Kampong.
Sambutan berlangsung di Dewan Belalong, Pekan
Bangar, Daerah Temburong. |