.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2011 |  Bagi Bulan : :.       

30 Julai 2011
Mangsa Kebakaran Daerah Brunei Muara menerima bantuan kewangan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menyampaikan sumbangan bantuan kewangan Kerajaan kepada salah seorang mangsa kebakaran

Mangsa-mangsa kebakaran yang berlaku baru-baru ini di Daerah Brunei Muara menerima bantuan kewangan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).

Sejumlah $26, 300.00 telah disumbangkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui JAPEM kepada lima ketua keluarga daripada Kampong Limbongan di Kampong Ayer dan seorang ketua keluarga daripada Kampong Rimba serta seorang daripada Barek Bomba Airport bagi membantu meringkan bebanan mereka. Bantuan kewangan tersebut  disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah berlangsung di Bilik Attaqwa, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Sebelum ini, JAPEM juga telah menyumbangkan bantuan berupa catuan makanan untuk tempoh seminggu, bantal dan kain selimut kepada mangsa kebakaran berkenaan.

Sementara itu, pihak YSHHB juga menyampaikan sumbangan kewangan yang keseluruhannya berjumlah B$40,200.00 kepada mangsa berkenaan.Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Urusan YSHHB, Dato Paduka Haji Ali Hashim bin Haji Daud.

Sumbangan merupakan usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) untuk menghulurkan bantuan bagi para mangsa yang ditimpa kebakaran.

Hadir pada majlis pagi tadi ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman; Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Ketua Kampong Belimbing, Yang Berhormat Awang Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim; Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Dayang Hajah Norsham binti Haji Yahya.

Turut hadir Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan dan ketua-ketua kampong yang berkenaan.

 
26 Julai 2011
Daerah Brunei Muara juara keseluruhan SPK Ke-V, 2011

Sebahagian daripada atlit orang berkeperluan khas yang menyertai Sukan Para Kebangsaan kali ke-5, tahun 2011 di Majlis Penutupan Rasmi sukan berkenaan

Sukan Para Kebangsaan (SPK) Ke-V, 2011 yang berlangsung selama dua hari melaburkan tirai dengan jayanya.

Temasya sukan dua tahun sekali yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Unit Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan, Pusat Ehsan AI-Ameerah AI-Hajjah Maryam, Persatuan Orang Berkerusi Roda dan Cacat Anggota (PAPDA), Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OPK) dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB) ini mencapai matlamat yang dihasratkan iaitu sebagai landasan untuk mengenal pasti dan mencari bakat-bakat orang berkeperluan khas (OBK) yang berpotensi untuk diketengahkan ke persada sukan antarabangsa.

Pasukan Daerah Brunei Muara meraih juara keseluruhan SPK Ke-V, 2011 dengan mendominasi 32 pingat emas, 39 perak dan 37 gangsa dengan keseluruhan 108 pingat.

Hadir menyempurnakan majlis penutupan sukan dwi-tahunan di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Pasukan Daerah Temburong menduduki tempat kedua dengan mengutip 8 emas, 3 perak dan 2 gangsa dengan keseluruhan kutipan sebanyak 13 pingat.

Tempat ketiga jatuh kepada pasukan Daerah Tutong yang memperolehi 6 pingat emas, 3 pingat perak dan 2 gangsa dengan kutipan keseluruhan sebanyak 11 pingat.

Daerah Belait menduduki tempat keempat dengan memperolehi sejumlah 3 pingat emas, 3 pingat perak dan 5 pingat gangsa dengan jumlah keseluruhan 11 pingat.

 
26 Julai 2011
Pasukan Atlit Para Games raih pingat emas acara Bola Sepak 5 sepasukan SPK

Aksi perlawanan akhir Bola Sepak 5 sepasukan Sukan Para Kebangsaan kali ke-5 antara Para Atlit Para Games (Jersi Biru) melawan Pasukan Pusat Bahagia 'A' (Jersi Kuning)

Impian pasukan Pusat Bahagia ‘A’ meraih pingat emas di acara Bola Sepak 5 sepasukan Sukan Para Kebangsaan (PSK) Ke-V tahun 2011 tidak tercapai selepas tewas kepada pasukan Atlit Para Game pada perlawanan akhir di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Pasukan Atlit Para Games bermain dengan cemerlang dengan mengatasi pasukan Pusat Bahagia ‘A’ pada separuh masa pertama dengan 2 – 0.

Sebaik saja separuh masa kedua bersambung pasukan Atlit Para Games terus menguasai permainan dengan menambahkan 3 lagi gol menjadikan kedudukan 5 – 0. Kedudukan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.

Sementara itu, Pasukan Pusat Ehsan dan UPK ‘B’ menyandang pingat gangsa.

Sebanyak 6 pasukan menyertai acara Bola Sepak 5 sepasukan yang telah diadakan secara liga pada 19 Julai 2011 di Padang Kompleks Menglait, Gadong.

Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman hadir menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang dalam perlawanan tersebut.

 
26 Julai 2011
Daerah Tutong mendominasi acara catur SPK V

Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman bergambar ramai bersama atlet acara catur Sukan Para Kebangsaan Ke-5, tahun 2011 yang meraih kejayaan

Daerah Tutong mendominasi acara catur Sukan Para Kebangsaan kali ke-5 (SPK V)dengan membolot kesemua pingat emas dalam kesemua kategori yang dipertandingkan. Acara catur telah dipertandingkan di Dewan Imtiyaz, Pusat Bahagia Brunei Muara pada 20 Julai 2011.

Dalam kejohanan ini, Abdul Rahman bin Haji Ahmad meraih pingat emas bagi kategori OBK Anggota / Berkerusi Roda setelah mengutip 4 mata dengan 4 kemenangan dan sekali kalah. Pingat perak diraih oleh peserta Daerah Brunei Muara iaitu Haji Noor Ishanuddin bin Haji Noor Kaseh. Pingat gangsa dikongsi bersama oleh Salehuddin bin Md Seruji dan Mohd Zairol Azmir bin Mohd Roszaimey kedua-duanya dari Daerah Brunei Muara.

Bagi kategori OBK Penglihatan, Md Jamary bin Danggat dari Daerah Tutong menraih pingat emas setelah memenangi kesemua perlawanan dengan mengumpul 5 mata. Pingat perak dimenangi oleh Md Hamzi bin Omar peserta dari Daerah Brunei Muara. Pingat gangsa dimenangi bersama oleh peserta-peserta dari Daerah Brunei Muara iaitu Md Halid bin Daud dan Dyangku Sofiezah binti Pengiran Bakar.

Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman hadir menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang dalam perlawanan tersebut.

 
25 Julai 2011
Sejumlah 306 pingat menjadi rebutan di temasya SPK V

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah ketika menyampaikan cenderamata kepada ketua kontinjen Daerah Temburong, Wan Ali bin Wan Ibrahim

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) berusaha secara berterusan untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehan golongan orang berkeperluan khas (OBK) dalam pelbagai bidang termasuk di arena sukan. Sehubungan dengan itu, Jabatan ini dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Unit Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan, Pusat Ehsan AI-Ameerah AI-Hajjah Maryam, Persatuan Orang Berkerusi Roda dan Cacat Anggota (PAPDA), Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OPK) dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB) menganjurkan Sukan Para Kebangsaan Kali Ke-5 (SPK V), 2011.

 

Sukan dwitahunan ini dirasmikan pagi tadi oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

 

Seramai 320 atlit OBK menyertai sukan tersebut yang mempertandingkan 3 acara sukan iaitu bola sepak, catur dan olahraga. Sukan tersebut disertai oleh lima ketegori ini iaitu, Orang Berkeperluan Khas Penglihatan, Orang Berkeperluan Khas Anggota, Orang Berkeperluan Khas Intelek, Orang Berkeperluan Khas Berkerusi Roda dan Orang Berkeperluan Khas Pendengaran menyediakan 107 pingat emas, 107 pingat perak dan 92 pingat gangsa.

 

Sukan bolasepak lima sepasukan telah bermula secara peringkat kumpulan pada 19  Julai 2011 lalu di Padang Kompleks Sukan Menglait, Gadong dan akan berakhir esok petang.

 

Sukan Para Kebangsaan Kali Ke-5 ini dianjurkan dengan tujuan untuk mewujudkan perkumpulan dalam suasana persahabatan dan persaudaraan dengan saling bantu-membantu dalam kalangan mereka yang terlibat, mencungkil bakat dan meningkat penyertaan orang berkeperluan khas dalam bidang sukan seterusnya mewakili negara ke perfngkat sukan serantau dan antarabangsa dan menggalakkan penyertaan aktif para peserta dalam aktiviti-aktiviti sukan.

 

Hadir pada majlis pagi tadi ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman. Juga hadir Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Awang Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Dayang Hajah Norsham binti Haji Yahya; Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan serta ketua-ketua Jabatan di bawah KKBS.

 
19 Julai 2011
Dayang Hajah Zubaidah terima rumah Projek Titian Amal

TETAMU kehormat bersama, Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Halim bin Haji Mohd. Hanifah dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Norsham binti Haji Yahya menyampaikan sijil kesiapan membaik pulih rumah kepunyaan Dayang Hajah Zubaidah binti Haji Madin di Kampung Sungai Tampoi Mukim Sengkurong

Impian dan keinginan mendiami rumah yang lebih selesa dan selamat kini tercapai bagi Dayang Hajah Zubaidah binti Haji Madin, 72, di No.85A, Jalan Sungai Tampoi, Kampung Sengkurong.

Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menghulurkan bantuan projek kemasyarakatan dengan membaik pulih rumah kediaman tersebut dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Projek Titian Amal itu adalah yang keempat diserahkan sempena Sambutan Jubli Emas ABDB dengan tujuan dikongsikan bersama sebagai tumpuan inisiatif oleh ABDB seperti yang dinyatakan dalam dasar pertahanan Negara Brunei Darussalam untuk memberikan dukungan kepada rakyat terutama sekali kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Kerja-kerja membaik pulih bermula pada 31 Mac yang lalu dan siap pada 18 Julai ini seperti membaiki dapur, bilik tidur, lantai, dinding dan penggantian keseluruhan atap dan pembinaan tangga baru.

Kos perbelanjaan asas bagi melaksanakan projek itu dianggarkan kira-kira BND6,123 yang disumbangkan sepenuhnya oleh JAPEM namun kos perbelanjaan itu tidak termasuk tenaga kerja kerana ia dijalankan oleh anggota-anggota sub-sub unit daripada Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), anggota-anggota Skuadron Jurutera Tempur Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan Platun Rintis Serang Kompeni Memerintah Batalion Pertama TDDB.

Majlis Penyerahan Sijil telah diadakan petang tadi di rumah berkenaan oleh Pemerintah TLDB, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Abd. Halim bin Haji Mohd. Hanifah dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian KKBS, Dayang Hajah Norsham binti Haji Yahya yang kemudiannya menyerahkan sijil kepada Dayang Hajah Zubaidah.

Pihak JAPEM juga turut menyumbangkan bantuan makanan asas kepada Dayang Hajah Zubaidah dan tiga anaknya.

Dayang Zubaidah merupakan seorang balu kepada Allahyarham, Haji Ahmad bin Wahab mempunyai tiga anak (seorang telah meninggal dunia), beliau pernah bekerja sebagai pembersih di Jerudong Polo and Country Club dan Yayasan Padian Food Court, tetapi bersara pada tahun 2004, kini beliau hanya menerima pencen tua BND250 bagi menyara diri dan tiga anaknya.

Hadir termasuklah Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Hajah Noridah binti Haji Abd. Hamid, Penghulu Mukim Sengkurong, Ketua Kampung Sengkurong A, pegawai-pegawai kanan KKBS, pegawai-pegawai kanan ABDB dan agensi kerajaan lain serta ahli keluarga Dayang Hajah Zubaidah.

Adalah diharapkan usaha sama dari semua pihak dan ABDB seperti ini akan sentiasa berterusan demi kebajikan dan kesejahteraan golongan masyarakat yang memerlukan di negara ini.

 
9 Julai 2011
Haji Khairol Zaman dan Dayang Jarinah juara membaca Al-Qur'an OBKP

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menyampaikan hadiah kepada Johan Qari, Awangku Yusof bin Pengiran Haji Abdullah

Awang Haji Khairol Zaman bin Haji Muhd. Salleh diumumkan juara Pertandingan Membaca Ayat-ayat Suci Al-Qur'an Bagi Orang Berkeperluan Khas Penglihatan (OBKP) Peringkat Kebangsaan Ke-5 Tahun 2011 dalam Kategori Qari berlangsung di Dewan Darul Imtiyaz, Pusat Bahagia Brunei Muara.

Beliau berjaya menarik perhatian para hakim dengan mengutip 89.5 peratus markah, manakala naib johan disandang oleh Awangku Yusof bin Pengiran Haji Abdullah dengan mengutip 83.5 peratus markah diikuti tempat ketiga, Awang Haji Ghani bin Garif memperolehi 70.5 peratus markah.

Sementara itu, Kategori Qariah dijuarai oleh Dayang Jarinah binti Haji Rungging mengutip 86.5 peratus markah, tempat kedua, Dayangku Soffiezah binti Pengiran Haji Abu Bakar sebanyk 85 peratus markah dan di tempat ketiga Dayang Hajah Nurul Ezzah binti Haji Emran dengan markah 82.5 peratus.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan cenderamata dan sijil penyertaan kepada para peserta serta hakim ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Terdahulu, Presiden Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB), Awang Muhammad Jamary bin Danggat selaku Pengerusi Bersama majlis dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, Persatuan BDNAB yang ditubuhkan pada 17 Januari 2001 kini mempunyai keahlian seramai 62 orang dan merupakan ahli ke-159 dari 162 dalam World Blind Union (WBU).

Beliau menjelaskan, pertandingan itu merupakan kali ke-5 diungkayahkan oleh Persatuan BDNAB dianjurkan bersama oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Seramai 12 peserta mengikuti pertandingan tersebut dan hanya lapan peserta iaitu empat qari dan empat qariah terpilih ke pertandingan akhir.

Antara tujuan pertandingan itu ialah untuk mengetengahkan kebolehan pembacaan golongan OBKP sekaligus agar mereka celik Al-Qur'an dan menjadikan pembacaan Al-Qur'an satu amalan serta panduan hidup di dunia dan bekalan di akhirat.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman.

Juga hadir Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar; Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim; Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan. - Pelita Brunei
 
2 Julai 2011
Ong Ku Chai terima rumah bantuan

Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman menyampaikan replika anak kunci kepada Ong Ku Chai

Sebagai salah satu usaha berterusan pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memeduli kebajikan serta kesejahteraan golongan yang memerlukan terutama sekali mereka yang memerlukan tempat kediaman yang lebih selesa. Maka bagi mencapai matlamat ini, pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong dan Persekutuan Catur Brunei (BCF) telah mengungkayahkan satu lagi projek bagi menyediakan tempat kediaman bagi salah seorang yang memerlukan bantuan iaitu Dayang Ong Ku Chai.

Majlis penyerahan rumah bantuan kepada Dayang Ong Ku Chai telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman pada pagi tadi.

Pembinaan rumah bantuan tersebut telah bermula pada 05 Jamadilawal 1432 Hijrah bersamaan 09 April 2011 Masihi yang lalu. Rumah tersebut didirikan di atas tapak tanah No.4-1467, Kampong Labu Estate, Jalan Labu, Daerah Temburong. Rumah yang menelan belanja sebanyak $30,000.00 ringgit adalah projek kerjasama daripada tiga pihak iaitu Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Daerah Temburong dan Persekutuan Catur Brunei. Jabatan Pembangunan Masyarakat menyumbangkan sejumlah $17,500.00 ringgit, sementara Persekutuan Catur Brunei menyumbangkan $13,500.00 ringgit. Sementara itu Syarikat Fabrica Interior Furnishing menghulurkan sumbangan berupa langsir.

Wang sejumlah $13,500.00 yang disumbangkan oleh Persekutuan Chess Brunei adalah hasil daripada Expedisi Amal Pendakian Gunung Everest (Everest Trekking Amal Expedition) yang telah diadakan pada 23 April 2010 hingga 09 Mei 2010 yang lalu. Expedisi tersebut disertai oleh lapan orang ahli Persekutuan Chess Brunei yang diketuai oleh Hj Zainal Abidin Ali.

Walaupun mereka berhadapan dengan berbagai rintangan, namun, berkat kesabaran, keazaman dan kecekalan, akhirnya mereka sampai juga di Everest Base Camp dan telah mengadakan pertandingan catur pada paras tertinggian yang pertama sekali dilakukan di dunia. Sempena Kampong yang mula-mula ditempuhi semasa menuju ke Everest Base Camp, rumah yang diserahkan kepada Dayang Ong Ku Chai diberi nama RUMAH LUKLA.

Dayang Ong Ku Chai adalah seorang balu yang berumur 59 tahun. Beliau adalah penerima Bantuan Kebajikan Bulanan dari pihak JAPEM. Beliau mempunyai 8 orang anak kandung dan pada masa ini hanya 2 orang anaknya tingal bersamanya.

Hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Hj Ahad.  

Juga hadir ialah  Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Haji Harris bin Othman; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhasan; dan Yang Dipertua Persekutuan Catur Brunei (BCF), Awang Haji Zainal bin Haji Ali. Turut hadir dimajlis tersebut ialah Ketua-ketua Jabatan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Ketua- Ketua cawangan Jabatan Kerajaan Daerah Temburong, Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampong di daerah Temburong.

 

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]