.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2011 |  Bagi Bulan : :.       

17 Mei 2011
Resolusi Simposium Hari Keluarga diserahkan

Tetamu Kehormat Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Awang Haji Mohd. Hamid bin Haji Mohd. Jaafar menerima resolusi simposium daripada  wakil peserta, Sarjan Borhanuddin bin Haji Ahmad

Seramai 110 peserta terdiri dari pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) petang tadi menerima sijil masing-masing di Majlis Penutup Simposium Hari Keluarga sempena Hari Antarabangsa Keluarga di Dewan Sejahtera, Sumbangsih Bahagia, Kompleks Perindustrian Beribi II.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil kepada para peserta, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Awang Haji Mohd. Hamid bin Haji Mohd. Jaafar.

Di majlis tersebut, Tetamu Kehormat menerima resolusi simposium tersebut daripada wakil peserta, Sarjan Borhanuddin bin Haji Ahmad, sebagai panduan dan sukat-sukat Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dalam menangani isu kemiskinan keluarga di negara ini.

Simposium yang diadakan selama dua hari itu turut membincangkan beberapa isu-isu keluarga antaranya kaedah, cara atau program bagi mengatasi kemiskinan dalam keluarga dan pelaksanaan program bagi kumpulan sasaran.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

 
16 Mei 2011
JAPEM Anjurkan Simposium Hari Keluarga

Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binte Othman ketika merasmikan Simposium Hari Keluarga Sempena Hari Antarabangsa Keluarga 2011

Institusi keluarga adalah unit paling asas dan terpenting dalam proses pembentukan masyarakat. Jika baik, sejahtera dan bahagia sesebuah keluarga maka akan baik, sejahtera dan bahagialah generasi yang dilahirkan didalam sesebuah masyarakat. Sekiranya institusi keluarga berpecah belah maka kesan sosial dan kesan ekonominya akan dirasai oleh masyarakat dan Negara serta generasi yang akan datang. Oleh itu, maju mundurnya sesebuah Negara adalah berasaskan kepada kekukuhan institusi keluarga. Walau bagaimanapun, perubahan modenisasi telah memberi cabaran baru kepada pembangunan institusi keluarga, yang mana antara lain telah menyebabkan kepincangan kepada segelintir keluarga dan masyarakat. Kepincangan ini sekaligus telah memberi impak kepada pembangunan sesebuah Negara. Lantaran pentingnya peranan institusi keluarga dalam pembangunan masyarakat dan Negara maka melalui resolusi 44/82 Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu telah mengisytiharkan tahun 1994 sebagai Tahun Antarabangsa Keluarga dan pada tahun 1993 pula telah mengisytiharkan 15 Mei setiap tahun sebagai Hari Antarabangsa Keluarga.

Oleh itu, sempena sambutan Hari Antarabangsa Keluarga pada tahun ini, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan telah menganjurkan Simposium. Hari Keluarga selama 2 hari bermula 16 hingga 17 Mei 2011. Tema sambutan pada tahun ini 'Menghadapi Kemiskinan Keluarga dan Pengasingan Sosial (Confronting Family Poverty and Social Exclusion). Simposium yang diadakan bertempat di Dewan Sejahtera, Sumbangsih Bahagia, Gadong telah dirasmikan oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binte Othman. Turut hadir ke acara perasmian pada hari ini ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kenbudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dato Paduka Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim, Ketua-Ketua Jabatar dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan.

Simposium telah disertai oleh lebih kurang 150 orang peserta yang mewakili jabatan-jabatan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) di Negara ini. Seberapa isu yang berkaitan dengan tema sambutan akan menjadi tajuk perbincangan para peserta dan diharapkan satu resolusi akan dapat dihasilkan yang mana antara lain akan dijadikan panduan dalam menangani isu kemiskinan keluarga di Negara ini.

 
10 Mei 2011
Peserta Bengkel Motivasi "Mesra Pelanggan" Terima Sijil

Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Awang Mohd Husaini Abdullah menyampaikan Sijil Penyertaan Kursus kepada Mohd Safari bin Haji Safar

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) sebagai sebuah Jabatan yang terlibat secara langsung dengan orang ramai secara berterusan berusaha untuk memperbaiki perkhidmatan. Ke arah itu, JAPEM mengambil langkah yang berpatutan bagi meingkatkan tahap kemahiran para pegawai dan kakitangan Jabatan tersebut.

Bagi mencapai matlamat tersebut Bengkel Motivasi "Mesra Pelanggan" telah diadakan di Perkampongan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Bengkel tersebut telah diadakan selama dua hari dan telah dibimbing oleh Pegawai Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan, Saraswatty Rajagopal.

Sehubungan dengan itu pada petang tadi diadakan majlis penutupan bengkel tersebut. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini Abdullah. Seramai 19 orang kakitangan JAPEM telah menamatkan bengkel tersebut dan telah menerima sijil penyertaan kursus mereka daripada tetamu kehormat.

Sepanjang bengkel tersebut para peserta didedahkan bagaimana untuk meningkatkan jati diri dan bagaimana untuk menangani pelanggan secara berkesan. Melalui ceramah dan juga aktiviti-aktiviti yang telah diadakan, diharap para peserta dapat memupuk sikap bekerjasama dikalangan dan meningkatkan prestasi dan kualiti kerja serta meningkatkan komunikasi yang berkesan antara kakitangan dengan pelanggan.

 

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]