.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2011 |  Bagi Bulan : :.       

25 Ogos 2011
5 Keluarga terima sumbangan amal Ramadan dari JAPEM

Pengarah Pentadbiran dan Kewangan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Mohamad bin Haji Abd Rahman menyampaikan sumbangan amal kepada salah seorang penerima

Di atas keprihatinan terhadap golongan susah di negara ini, aktiviti sumbangan amal bulan Ramadan tahun 1432 Hijriah bersamaan dengan 2011 Masihi telah diungkayahkan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) kepada enam buah rumah kediaman orang-orang susah di Daerah Brunei Muara secara berasingan.

Rombangan diketuai oleh Pengarah Pentadbiran dan Kewangan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Mohamad bin Haji Abd Rahman mula-mula singgah di rumah Dayang Mariah binti Haji Muslim.

Semasa kunjungan tersebut, beliau menyerahkan sumbangan berupa catuan makanan asasi dan hamper Hari Raya bagi membantu penerima dalam persediaan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sumbangan serupa juga dihulurkan kepada empat lagi penerima iaitu Awang Muhammad Aslam bin Muhammad Jefri Deen, Dayang Norlia binti Uda, Dayang Nisah binti Haji Kula dan Dayang Norsia’ Hasnaliza binti Hassem di kediaman masing-masing.

Turut menyampaikan sumbangan ‘hamper’ ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan di KKBS, Datin Hajah Shireen binti Haji Mustapha dan Pemangku Pengarah Belia dan Sukan (JBS), Awang Haji Malek bin Haji Mohammad.

Turut menyertai rombongan tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim selaku Ketua Kampong Belimbing dan beberapa orang pegawai JAPEM.
 
23 Ogos 2011

6 Keluarga terima sumbangan amal Ramadan dari JAPEM

Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman menyerahkan sumbangan kepada salah seorang keluarga susah di Daerah Tutong

Di atas keprihatinan terhadap golongan susah di negara ini, aktiviti sumbangan amal bulan Ramadan tahun 1432 Hijriah bersamaan dengan 2011 Masihi telah diungkayahkan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) kepada enam buah rumah kediaman orang-orang susah di Daerah Tutong secara berasingan.

Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta rombongan mula-mula singgah di rumah Dayang Norhayati binti Abdullah, seorang balu dan mempunyai 8 orang anak.

Semasa kunjungan tersebut, Datin Paduka Hajah Adina menyerahkan sumbangan berupa catuan makanan asasi dan hamper Hari Raya bagi membantu penerima dalam persediaan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sumbangan serupa juga dihulurkan kepada lima lagi penerima iaitu Dayang Mariah binti Sulaiman, Dayang Saadiah binti Abdullah Ayeh, Dayang Nurul Zahirah binti Abdul Rahman Pangan, Dayang Meryanah binti Abdullah@Eping binti Pangun dan Dayang Sanisah binti Abdullah di kediaman masing-masing.

Turut menyertai rombongan tersebut, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhasan, pegawai-pegawai kanan dari KKBS, dan JAPEM.

 
22 Ogos 2011
Mereka yang tidak lagi menerima bantuan MUIB disaran melapor kepada JAPEM

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah ketika ditemubual oleh pihak media

Para penerima bantuan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang digantungkan buat beberapa waktu bantuan mereka kerana menerima pengagihan zakat dari Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) diminta melaporkan kepada JAPEM supaya bantuan mereka diberikan semula sekiranya mereka tidak lagi menerima bantuan secara berterusan dari MUIB.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah semasa penyampaian Sumbangan Amal pada Bulan Ramadan yang diungkayahkan oleh JAPEM, KKBS bagi Daerah Temburong.

Yang Berhormat menjelaskan "Ini berbeza dari para pemohon baru di mana pemohon baru perlu melalui beberapa siasatan bagi mendapatkan maklumat manakala para pemohon yang digantung sementara bantuan mereka hanya perlu memberikan pengesahan bahawa mereka sudah diberhentikan daripada menerima bantuan zakat tersebut dan ketua kampung hendaklah memaklumkan kepada JAPEM bagi mengesahkan mereka tidak lagi menerima bantuan zakat. Insya Allah proses tersebut tidak memakan masa yang lama".

Menyentuh mengenai Projek Sumbangan Amal tersebut, Yang Berhormat berkata, selain membantu golongan daif dan susah dalam persiapan menyambut bulan Ramadan dan sambutan hari raya yang akan datang nanti, aktiviti seumpamanya juga memberi peluang bagi meninjau secara lebih dekat keadaan mereka yang memerlukan bantuan itu.

Menurutnya, hasil dari lawatan itu juga beberapa tindakan susulan akan dibuat seperti membantu ketua keluarga dalam mendapatkan pekerjaan sama ada bekerja dengan pihak swasta ataupun bekerja sendiri.

"Kalau pun sekiranya ianya mengungkayahkan untuk bekerja sendiri maka JAPEM akan memberikan bantuan seperti mesin pemotong rumput bagi membolehkannya mengambil upah memotong rumput," jelasnya.

Menyentuh keadaan salah seorang penerima sumbangan yang memerlukan pembantu rumah untuk menjaga dua orang anaknya yang cacat anggota, Yang Berhormat menjelaskan bahawa JAPEM akan menolong keluarga tersebut bagaimana caranya untuk mendapatkan pembantu rumah yang baru memandangkan pembantu rumah ketika ini tidak dapat meneruskan perkhidmatannya.

 
22 Ogos 2011
Sumbangan Amal Pada Bulan Ramadan 1432/2011 Bagi Daerah Temburong

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah ketika mengunjungi rumah Awang Mohammad bin Haji Tahir pada majlis sumbangan amal Bulan Ramadhan bagi Daerah Temburong

Di atas dasar pemedulian terhadap golongan susah di negara ini, aktiviti Sumbangan Amal Pada Bulan Ramadan 1432/2011 telah diungkayahkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM). Majlis yang berlangsung di lima buah rumah kediaman penerima Pencen Umur Tua dan Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bagi Daerah Temburong telah diadakan secara berasingan hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan rombongan mula-mula singgah di rumah Awang Mohammad bin Haji Tahir. Di sini Yang Berhormat Pehin menyerahkan sumbangan berupa catuan makanan asasi dan 'hamper' Hari Raya bagi membantu penerima dalam persediaan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri kelak. Doa Selamat seterusnya dibacakan bagi memberkati majlis tersebut.

Majlis yang serupa turut diadakan di kediaman empat buah lagi penerima iaitu, Awang Haji Hamzah bin Haji Jahar, Dayang Siti Sabariah binti Haji Salleh, Dayang Hajah Mala binti Lajim dan Dayang Hajah Midah binti Salleh.

Turut hadir pada majlis -majlis t ersebut ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman; Ahli Majlis Mesyuarat Negara Merangkap Ketua Kampung Belingos, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Ahad;  Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim; Pegawai Daerah Temburong, Yang Mulia Awang Haji Harris bin Othman;  Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Yang Mulia Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhasan;  pengawai-pegawai daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

 
20 Ogos 2011
5 buah keluarga terima sumbangan amal Ramadhan dari JAPEM

YANG Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan sumbangan kepada Awang Muhammad Shah Haify Aiman bin Abdullah Shanang

Di atas keprihatinan terhadap golongan susah di negara ini, aktiviti sumbangan amal bulan Ramadan tahun 1432 Hijriah bersamaan dengan 2011 Masihi telah diungkayahkan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) kepada enam buah rumah kediaman orang-orang susah di daerah Belait, secara berasingan.

Sumbangan disampaikan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Mula-mula Yang Berhormat dan rombongan singgah ke rumah Awang Muhammad Shah Haify Aiman bin Abdullah Shanang.

Beliau yang berusia 18 tahun, penuntut Sekolah Menengah Sayiddina Ali dalam Pra U 2 bersama empat adiknya merupakan anak yatim piatu menerima bantuan JPM sebanyak BND600.

Majlis serupa turut diadakan di kediaman empat buah rumah penerima iaitu Rosni binti Surakom, Haji Wahid bin Haji Tengah, Rosni binti Abdullah dan Hajah Japun binti Haji Salim yang masing-masing tinggal di Kampung Sungai Lalit, Lumut, Kampung Keluyoh, Sungai Liang, Kampung Sungai Bakong, Lumut dan Jalan Kecil Sungai Taring, Lumut.

 
20 Ogos 2011
Golongan susah terus mendapat perhatian

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menyampaikan replika anak kunci rumah kepada Awang Subli bin Bungah

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam secara berterusan memeduli kebajikan serta kesejahteraan golongan yang memerlukan terutama sekali mereka yang memerlukan tempat kediaman yang lebih selesa.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerajasama Jabatan Daerah Belait dan Persekutuan Catur Brunei (BCF) mengendalikan satu projek menyediakan tempat kediaman bagi golongan daif, fakir dan miskin.

Majlis Penyerahan Rumah Bantuan kepada salah seorang penerima rumah bantuan tersebut, Awang Subli bin Bungah yang tinggal di Kampung Serowong, Merangking disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Awang Subli, 62, penerima bantuan kebajikan bulanan Pencen Umur Tua dari JAPEM dan isterinya, Dayang Dusun binti Beniau suri rumah sepenuh masa mempunyai 12 anak.

Keluarga Awang Subli mendapat rumah tersebut melalui sokongan dari Jabatan Daerah yang dihadapkan kepada JAPEM.

Beliau yang ditemui melahirkan kegembiraan menerima rumah bantuan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Majlis Peletakan Batu Asas pembinaan rumah dua tingkat yang mempunyai enam buah bilik tidur, sebuah bilik tamu dan sebuah dapur milik Awang Subli bermula 14 Mac lalu dengan anggaran perbelanjaan BND33,000.

Perbelanjaan bagi membeli bahan-bahan binaan disumbangkan oleh pihak kerajaan melalui JAPEM manakala upah dan pengangkutan bagi pembinaan rumah tersebut disumbangkan oleh salah seorang dermawan dari Daerah Belait manakala BCF menyumbangkan BND12,500 iaitu sebahagian dari hasil kutipan yang diperolehi melalui Projek 'Everest Trekking Amal' yang telah diadakan pada 23 April hingga 9 Mei tahun lepas.

Jabatan Daerah Belait pula memberikan bantuan dari segi pengurusan dan logistik bagi memastikan pembinaan rumah berjalan dengan lancar sementara Syarikat Fabrica Interior Furnishing menghulurkan sumbangan dalam penyediaan dan pemasangan langsir sementara seorang Hamba Allah menyumbangkan tenaga pakar dan pekerja seramai 15 orang manakala Persatuan Bulan Sabit Merah mendermakan makanan asasi.

Antara yang hadir di majlis tersebut Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Shafiee bin Ahmad merangkap Ketua Kampung Lumut 1, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Awang Haji Mohd. Hamid bin Haji Mohd. Jaafar, Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim, Pegawai Daerah Belait, Awang Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba dan Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan.

Projek seumpamanya dilaksanakan secara berterusan oleh JAPEM.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyatakan, meskipun JAPEM mempunyai peruntukan namun dalam waktu yang sama juga mendapat bantuan-bantuan dari badan-badan sukarelawan.

Yang Berhormat berkata, mana-mana golongan daif yang memerlukan bantuan perumahan akan disediakan tempat tinggal di bawah kawalan JAPEM dan golongan tersebut yang mempunyai tanah, pihak JAPEM akan membantu mendirikan rumah mereka.

 
16 Ogos 2011
Majlis Bersungkai bersama murid dan pelatih Pusat Bahagia Brunei Muara

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Di Raja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah beramah mesra bersama dengan salah seorang murid Pusat Bahagia Brunei Muara

Diatas dasar pemedulian terhadap orang berkeperluan khas di Negara ini, aktiviti Bersungkai Bersama Pusat Bahagia telah diungkayahkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS). Majlis berlangsung di Pusat Bahagia, Kampong Pulaie.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Di Raja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Terdahulu sebelum itu majlis bermula dengan Bacaan Tahlil beramai-ramai yang diketuai oleh Guru Agama, Pusat Bahagia Brunei Muara, Ustaz Haji Maidi bin Haji Jais.

Sebelum berbuka puasa, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan beramah mesra bersama para pelatih dan murid pusat berkenaan.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman; Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar; Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim; Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan; Pegawai-pegawai kanan KKBS dan JAPEM.

 
9 Ogos 2011

2,844 orang anak yatim dari seluruh negara telah menerima sumbangan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim

Bagi tujuan untuk meringankan beban perbelanjaan keperluan harian anak-anak yatim dan juga sebagai persediaan menjelang hari raya, satu Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 1432H/2011M telah diadakan pada hari ini. Majlis berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dan merupakan acara tahunan anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) pada setiap bulan Ramadan.

Tetamu-tetamu kehormat bagi menyempurnakan Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 1432H/2011M ialah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah dan Datin serta Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar dan Datin.

Juga hadir Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Pengarah Urusan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai kanan daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Pada majlis hari ini seramai 2,844 orang anak yatim dari seluruh negara telah menerima sumbangan daripada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD). Daripada jumlah tersebut seramai 1,807 orang anak yatim di Daerah Brunei dan Muara telah menerima secara peribadi derma berkenaan daripada para tetamu kehormat dan isteri masing-masing.

Dalam pada itu, anak-anak yatim daripada Daerah-daerah Belait, Tutong dan Temburong telah diwakili oleh Pegawai-pegawai Daerah masing-masing.

Pada majlis yang sama, pihak Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menyumbangkan Skim Hadiah Galakan Pelajar-pelajar Cemerlang untuk anak-anak yatim yang memperolehi kecemerlangan dalam tiga kategori peperiksaan utama pada tahun 2010.

Hadiah-hadiah galakan ini disampaikan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya binti Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Jumlah sumbangan derma yang telah disampaikan pada hari ini daripada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan ialah sebanyak $284.400.00 dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menyumbangkan sebanyak $142,200.00.

 
3 Ogos 2011
Menderma sambil beramal melalui SMS Brunei Prihatin

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah ketika memulakan penghantaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan

Sebagai salah satu usaha untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai menghulurkan derma kepada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan satu Majlis Pelancaran SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan telah diadakan pada pagi tadi bertempat di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman; Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Dayang Hajah Norsham binti Haji Yahya; Pengarah Radio Televisyen Brunei (RTB), Awang Haji Mohd Yunos bin Bolhassan; Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan; Ketua-ketua Jabatan di bawah KKBS; pegawai-pegawai kanan daripada JAPEM, RTB, DST Group dan B-Mobile Communications Sdb Bhd.

Di dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah JAPEM selaku Pengerusi Bersama Majlis, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan telah memaklumkan bahawa majlis pada hari ini merupakan acara tahunan yang diungkayahkan JAPEM, RTB, DST Group dan B-Mobile Communications Sdn Bhd sempena bulan Ramadhan, bertujuan untuk menambah kewangan Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan dan juga untuk menggalakkan rakyat dan penduduk di negara ini untuk menghulurkan derma ke tabung berkenaan.

Projek yang telah bermula sejak tahun 2005 ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai yang mana kesemua kutipan yang diterima telah disumbangkan sepenohnya kepada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan. Oleh yang demikian, beliau sekali lagi mengharapkan dengan pelancaran majlis pada hari ini akan dapat memudahkan orang ramai menyumbangkan derma bagi membantu mereka yang memerlukan selain mendapat keredhaan daripada Allah Subahanahu Wataala.

Kutipan derma melalui SMS yang dilancarkan pada hari ini akan berakhir sehingga 15 September 2011. Orang ramai yang berhasrat untuk menderma bolehlah menderma melalui SMS yang disediakan dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan menaip jumlah yang dikehendaki iaitu 1, 5, 10, 15 atau 20 sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan B-Mobile atau melalui WAP Portal.

Sementara itu, dalam majlis yang sama DST Group telah menyumbangkan derma sebanyak $20,000.00 kepada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan. Derma tersebut telah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan DST Group Sdn Bhd, Awang Abdul Latif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]