.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2011 |  Bagi Bulan : :.       

31 Oktober 2011

SOM bincang persiapan AMMRDPE Ke-7

Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN yang menghadiri Mesyuarat AMMRDPE Ke-7 dalam sesi bergambar ramai bersama Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Hamid selaku Pengerusi mesyuarat

Negara Brunei Darussalam tahun ini menjadi tuan rumah Mesyuarat Ke-7 Menteri-menteri ASEAN Bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (7th ASEAN Ministerial Meeting on Rural Development and Poverty Eradication - 7th AMMRDPE) yang akan diadakan pada 2 November 2011 ini.

Mesyuarat AMMRDPE Ke-7 ini bermula dengan Mesyuarat Persediaan Pegawai-pegawai Kanan (Pre-SOM 7th AMMRDPE) yang berlangsung pagi tadi bertempat di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Hotel and Country Club, di sini.

Prep-SOM selama dua hari ini dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Hamid bin Haji Mohd. Jaafar dan dihadiri oleh perwakilan pegawai-pegawai kanan dari 10 buah negara ASEAN termasuk wakil dari Sekretariat ASEAN.

Mesyuarat SOM AMMRDPE Ke-7 akan bermula dengan meneliti dan membincangkan agenda meliputi perkara-perkara seperti ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC) Blueprint, Status Laporan Susulan AMMRDPE Ke-6 (27 Mei 2009), Framework Action Plan on Rural Development and Poverty Eradication (2011-2015), Preparation of the 7th AMMRDPE dan Preparation of the 4th SOMRDPE+3.

AMMRDPE mula ditubuhkan pada tahun 1997 bertujuan untuk mengukuhkan dan menyelaraskan kerjasama di antara negara-negara ASEAN dalam pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan dengan menekankan kepada pembangunan komuniti luar bandar ke arah masyarakat yang memeduli (caring society) di rantau ASEAN.

Ia diadakan setiap dua tahun sekali manakala SOMRDPE yang melapor kepada AMMRDPE pula diadakan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Antara fungsi SOMRDPE adalah untuk merancang, menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan dasar-dasar dan program-program yang diguna pakai oleh Menteri-menteri ASEAN dan membuat laporan mengenai pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan kepada Menteri-menteri ASEAN.

Di samping itu ia juga berfungsi bagi menggalakkan dan meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan kerajaan ASEAN yang berkaitan dengan pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan, organisasi serantau dan antarabangsa, sektor swasta/perniagaan dan organisasi bukan kerajaan dan organisasi awam.

SOMRDPE telah merumuskan Pelan Tindakan Rangka Kerja Bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 1999-2004 yang telah diguna pakai dalam AMMRDPE yang pertama pada bulan Oktober 1997 yang menekankan bidang keutamaan kerjasama antaranya memudahkan kerjasama serantau di kalangan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, sektor perniagaan dan institusi penyelidikan.

Ia juga menekankan untuk perkongsian maklumat, amalan-amalan terbaik, pengajaran yang diperolehi, keupayaan penyelidikan dan kepakaran teknikal di samping membangunkan program sukarelawan luar bandar serantau dan meningkatkan lagi kesedaran awam tentang keperluan untuk mempercepatkan pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan.

Rangka kerja tersebut berakhir pada tahun 2010 dan dipersetujui dalam SOMRDPE Ke-7 di Bangkok bahawa satu Pelan Tindakan Rangka Kerja baru bagi tempoh 2011-2015 perlu dibangunkan di mana sebuah konsultan telah dilantik untuk merangka pelan tindakan 2011-2015 tersebut.

Satu bengkel bagi membincangkan Pelan Tindakan Rangka Kerja tersebut telah diadakan pada 29-30 September 2011 dan dihadiri oleh perwakilan-perwakilan utama SOMRDPE.

Rangka kerja baru antara lain bertujuan untuk membantu negara-negara anggota dalam mencapai matlamat Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) seperti yang tertera pada objektif strategik berkaitan dan garis tindakan Blueprint ASCC.

Draf baru tersebut adalah salah satu agenda yang akan dibincangkan di Prep-SOMRDPE dan AMMRDPE kali ini. - Pelita Brunei

 
8 Oktober 2011
Jerayawara sumbangan kepada Pertubuhan OBK melalui sistem pemotongan gaji

Taklimat mengenai sumbangan kepada Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan untuk orang-orang Berkeperluan Khas melalui Pemotongan Gaji kepada Pegawai dan Kakitangan Kementerian Perhubungan

Keprihatinan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama membantu Orang Berkeperluan Khas (OBK) melalui usaha-usaha yang dilaksanakan oleh pertubuhan-pertubuhan  bukan Kerajaan (NGOs) adalah sangat menggalakkan.

Pagi tadi, jerayawara mengenai sumbangan kepada NGOs OBK diadakan di Dewan Amar, Kementerian Perhubungan adalah sebagai kesinambungan kepada jerayawara yang sama yang telah diadakan di Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama pada 3 dan 6 Oktober yang lalu.

Jerayawara anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama Pertubuhan-pertubuhan Orang Bekeperluan Khas (NGOs) tersebut bertujuan untuk menerangkan dan menyampaikan maklumat serta tatacara bagi pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan untuk memberikan sumbangan secara sukarela menerusi pemotongan gaji yang akan disalurkan kepada NGOs melalui akaun-akaun gantung yang disediakan oleh Kementerian Kewangan.

Taklimat disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah JAPEM, Awang Haji Ahad bin Haji Hassan.

Juga turut menyampaikan taklimat di  jerayawara tersebut wakil-wakil daripada  Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA), Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Persatuan bagi Autisme Dalam Latihan, Pendidikan dan Sumber Brunei Darussalam (SMARTER), Learning Ladders Society (LLS), Persatuan Orang-orang Berkerusi Roda dan Orang-orang Cacat Anggota (PAPDA), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB), Special Olympics Brunei Darussalam (SOBD) dan Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan.

Jerayawara yang merupakan salah satu usaha membantu NGOs yang memeduli mereka yang berkeperluan khas di negara ini melibatkan 12 kementerian secara bergilir-gilir.

Ia selaras dengan hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam menanai rasa tanggungjawab sosial di negara ini.

 

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]