.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2011 |  Bagi Bulan : :.   

28 September 2011
Majlis Penyerahan Derma dan Mesyuarat Penutupan Tabung Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi Dan Tsunami Jepun

Pemangku Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman menderma sumbangan derma daripada salah seorang penderma

Satu majlis penyerahan derma kepada Tabung Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi dan Tsunami Jepun diadakan pada petang ini bertempat di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam. Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan sekaligus menerima derma tersebut ialah Pemangku Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Majlis juga turut dihadiri oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim.

Para penyumbang yang menyampaikan derma untuk Tabung Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi dan Tsunami Jepun pada hari ini ialah:

Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan Di Bawahnya mendermakan sebanyak $5,102.00 yang diserahkan oleh Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Haji Haris bin Pengiran Haji Shahbudin.

Angkatan Bersenjata Diraja Brunei mendermakan sebanyak $5,000.00 yang disampaikan oleh Pengarah Keanggotaan Kementerian Pertahanan, Leftenan Kolonel (Udara) Hajj Wardy bin Haji Abdul Latip.

Kementerian Pendidikan dan Jabatan-Jabatan Di Bawahnya mendermakan sebanyak $12,305.32 yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pengarah, Kementerian Pendidikan, Pengiran Hajah Sarah binti Pengjran Haji Kamaludin.

Jabatan Hal Ehwal Masjid mendermakan sebanyak $31,916.30 yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Abdul Kahar bin Haji Hussin.

Jabatan Pengajian Islam mendermakan sebanyak $7,916.11 yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Ugama Kanan Jabatan Pengajian Islam, Dayang Siti Marjianah binti Haji Mohamad.

Jabatan Daerah Temburong mendermakan sebanyak $313.70 yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Kerja, Jabatan Daerah Temburong, Dayang Rosmaria binti Haji Ibrahim.

Jabatan Daerah Tutong mendermakan sebanyak $976.85 yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Kerja Jabatan Daerah Tutong, Awang Saiful Rizam bin Osman.

Pegawai dan Kakitangan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan mendermakan sebanyak $30.00 yang disampaikan oleh Awang Haji Ahmad bin Haji Mohd Daud.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mendermakan sebanyak $50,000.00 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dato Paduka Awang Haji Ali Hashim bin Haji Daud.

DST mengumpulkan derma melalui SMS sebanyak $23,596.00 yang disampaikan oleh Pengarah bagi Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Latiff·bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusuf.

B-Mobile Communications Sdn. Bhd. mengumpulkan derma melalui SMS sebanyak $13,600.00 yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif B-Mobile Communications Sdn. Bhd, See Wei Kie,.

Persatuan Bank-Bank Brunei mengumpulkan derma sebanyak $9,910.00 yang disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Bank-Bank Brunei, Pierre Imhof.

Majlis penyerahan derma tersebut telah diselajurkan dengan mesyuarat penutupan Tabung oleh Jawatankuasa Urus Setia Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Jepun yang dipengerusikan oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim,. Mesyuarat pada hari ini bersetuju bahawa mulai hari ini, Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Jepun ditutup secara rasminya dan sekaligus pembubaran Jawatankuasa Tabung tersebut.

Berdasarkan jumlah kutipan yang diterima di sepanjang tempoh kutipan selama 6 bulan, iaitu mulai 17 Mac 2011 hingga 16 September 2011 termasuklah jumlah derma yang diterima pada hari ini, Tabung Kemanusian Mangsa Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Jepun telah berjaya mengutip sebanyak BND 388,377.42 + USD 50,000.00.

Oleh yang demikian, Jawatankuasa Tabung Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi dan Tsunami Jepun amat sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pen derma di negara ini sama ada secara individu, kumpulan, jabatan, pertubuhan, badan-badan atau syarikat-syarikat di atas sumbangan derma yang telah diberikan kepada Tabung tersebut. Mudah-mudahan dengan sumbangan ikhlas yang telah dihulurkan para penderma sekalian akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wataala jua. Amin

 
28 September 2011
Kompleks Rumah Kebajikan, JAPEM terima sumbangan dari Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam

Pengarah Pentadbiran dan Kewangan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohammad bin Haji Abdul Rahman menerima sumbangan daripada Bakal Duta Besar Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Apichart Phetcharatana

Peranan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di­Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam melindungi dan mencegah aktiviti penyeludupan manusia ke luar negara telah mendapat pengiktirafan daripada pihak Kerajaan Thailand.

Berikutan dengan itu, hari ini Kedutaan Besar Thailand di Bandar Seri Begawan telah menyumbangkan sejumlah Lima Ribu Enam Ratus Dua Belas Ringgit Dan Tujuh Puluh SembiIan Sen ($5,612.79) kepada Kompleks Rumah Kebajikan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM). Sumbangan tersebut diterima oleh Pengarah Pentadbiran dan Kewangan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan,  Awang Haji Mohammad bin Haji Abdul Rahman daripada Bakal Duta Besar Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Apichart Phetcharatana.

Sumbangan ini adalah sebagai penghargaan pihak Thailand kepada Kompleks Rumah Kebajikan kerana memberi perlindungan kepada seorang warganegaranya sepanjang berada di negara ini ketika menjadi saksi bagi satu perbicaraan.

Hadir pada majlis hari ini ialah Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid, pegawai-pegawai kanan daripada Kedutaan Besar Thailand di Bandar Seri Begawan dan pegawai-pegawai kanan daripada JAPEM.

 
27 September 2011
SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Bantuan Kemanusiaan Somalia

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar ketika melancarkan SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Bantuan Kemanusiaan Somalia

Diatas keprihatinan terhadap penderitaan mangsa-mangsa kebuluran di Somalia, Jawantankuasa Tabung Bantuan Somalia telah melancarkan Pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk tabung berkenaan di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) pada pagi tadi.

Hadir melancarkan SMS Brunei Prihatin itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Projek SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Bantuan Kemanusian Somalia adalah anjuran bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Jabatan Radio dan Televisyen Brunei (RTB), DST Communication Sdn Bhd dan B-Mobile Communication Sdn Bhd. Sebagai salah satu usaha untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menghulurkan derma kepada tabung berkenaan yang telah ditubuhkan pada 7 September 2011.

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ini ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman; Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dato Paduka Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar; Timbalan Setiausaha Tetap KKBS Yang Mulia Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Kutipan derma melalui SMS ini akan bermula pada hari ini 27 September 2011 sehingga 10 November 2011. Oleh yang demikian kepada orang ramai yang berhasrat untuk menderma bolehlah menderma melalui SMS yang disediakan dengan menaip BANTU (tanpa jarak) dan menaip jumlah yang di kehendaki iaitu 1, 5, 10, 15 atau 20 sebagai contoh BANTU20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan  B-mobile atau melalui WAP Portal.

Oleh yang demikian, Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urusetia Tabung mengalu-alukan orang ramai untuk menghulurkan derma melalui kemudahan yang disediakan seperti di atas pada tempoh yang dinyatakan. Mudah-mudahan segala sumbangan yang dihulurkan akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah Subahanahu Wataala jua, Amin

 
 
19 September 2011
Penerima Bantuan Kebajikan Bulanan dikehendaki mengungkayahkan perkhidmatan kemasyarakatan

Sebahagian daripada para jemputan yang hadir di majlis pelancaran Skim Perkhidmatan Masyarakat bagi penerima-penerima Bantuan Kebajikan Bulanan di Dewan Imtiyaz, Pusat Bahagia Pulaie.

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) mengenakan syarat baru kepada para penerima Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) dengan syarat, para penerima dikehendaki untuk mengungkayahkan perkhidmatan kemasyarakatan di bawah Skim Perkhidmatan Masyarakat bagi penerima-penerima BKB.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan melancaran skim berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah di majlis yang berlangsung di Dewan Imtiyaz, Pusat Bahagia Pulaie, JAPEM, di sini.

Juga hadir, Setiauasaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Setiausaha Majlis Ugama Islam, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Pegawai-pegawai Daerah, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di bawah KKBS.

Skim tersebut menyasarkan mereka yang berumur antara 18 hingga 55 tahun yang terdiri daripada orang susah yang mempunyai tanggungan isteri dan anak serta tidak mempunyai pekerjaan, janda-janda dan balu-balu.

Sepanjang mengikuti skim berkenaan para peserta dikehendaki membersih kawasan seperti kawasan sekolah, maktab, masjid, bangunan kerajaan dan sebagainya, membantu kerja-kerja amal/sukarela atau aktiviti yang dilaksanakan oleh jabatan-jabatan kerajaan, persatuan-persatuan, Majis Perundingan Kampung dan di institusi kebajikan.

Manakala bagi yang mempunyai tanah pula, adalah digalakkan untuk mengusahakan tanah seperti bercucuk tanam dengan hasilnya nanti akan dijual bagi menampung kehidupan seharian.

Selain dari itu juga para penerima BKB juga akan melaksanakan lain-lain perkhidmatan yang bersesuaian.

Di bawah Skim Perkhidmatan Masyarakat bagi penerima-penerima dan para peserta dikehendaki mengungkayahkan kerja-kerja kemasyarakatan dalam tempoh masa 24 jam sebulan ataupun enam jam seminggu sepanjang mereka menerima BKB.

Skim Perkhidmatan Masyarakat bagi penerima-penerima BKB diharapkan akan dapat mengubah sikap penerima-penerima supaya terus berusaha untuk memperbaiki kehidupan mereka melalui pengalaman hidup berdikari seperti bantu diri dan bertanggungjawab tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak kerajaan.

Sebagai salah satu inisiatif untuk menangani isu tersebut, Skim Perkhidmatan Masyarakat bagi penerima-penerima BKB telah diperkenalkan.
 
15 September 2011
Majlis Ramah Mesra bersama warga OBK dan penghuni KRK

Tetamu kehormat, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Hamid bin Haji Mohd. Jaafar menyampaikan sumbangan derma kepada murid-murid Pusat Bahagia serta Kompleks Rumah Kebajikan

Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1432 Hijrah / 2011 Masehi, satu Majlis Ramah Mesra bagi meraikan warga Orang Berkeperluan Khas (Pelatih dan Pelajar Pusat Bahagia) dan Penghuni Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah diadakan bertempat di Dewan Persidangan Antarabangsa Pertahanan BRIDEX, Kementerian Pertahanan, Jerudong.

Tetamu Kehormat di Majlis Ramah Mesra Bersama Murid-murid dan Pelatih-pelatih Pusat Bahagia serta Kompleks Rumah Kebajikan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Hamid bin Haji Mohd. Jaafar.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah (JAPEM), Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan, Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai-pegawai Kanan di bawah KKBS.

Acara kemuncak di majlis tersebut ialah penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada mereka yang diraikan yang disampaikan oleh leh Setiausaha Tetap KKBS dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Mohammad bin Haji Abdul Rahman.

Majlis juga adalah sebagai salah satu acara tahunan JAPEM selain ianya untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara para pegawai dan kakitangan JAPEM bersama warga orang berkeperluan khas dan penghuni Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan.

 
15 September 2011
Kumpulan LAGENDA JAPEM di Konvensyen KKC Peringkat Kebangsaan kali ke-14

Persembahan dari Kumpulan Lagenda dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bertanding di Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Peringkat Kebangsaan Kali ke-14 tahun 2011 yang berlangsung di Dewan Penghayatan, Institut Perkhidmatan AWam (IPA)

Kumpulan LAGENDA dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bertanding di Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Peringkat Kebangsaan Kali ke-14 tahun 2011 yang berlangsung di Dewan Penghayatan, Institut Perkihdmatan Awam (IPA).

Kumpulan Lagenda ditubuhkan pada 10 Ogos 2009 dengan keramaian ahli sebanyak 5 orang sahaja. Kumpulan Lagenda adalah dari Bahagian Perkhidmatan Pencen-Pencen JAPEM yang mana bahagian ini mengendalikan urusan perkhidmatan Pencen Umur Tua (PUT), Pencen Orang Buta (OB), Elaun Pesakit Mental (OG) dan Pencen Kurang Upaya (OKU) mengikut peraturan Akta Pencen Umur Tua dan Tidak Upaya 1954.

Kumpulan memilih tajuk projek, Proses permohonan Pencen Orang Buta (OB), Elaun Orang Gila (OG) dan Pencen Orang Kurang Upaya (OKU) mengambil masa yang lama adalah disebabkan JAPEM sering menerima aduan/rungutan dari pihak orang awam (Pemohon & waris pemohon).

Kumpulan menyedari betapa pentingnya masalah ini untuk diperbaiki dengan segera bagi tujuan memperbaiki perkhidmatan serta pemedulian JAPEM ke atas orang ramai khasnya yang memerlukan pertolongan. Dalam memperbaiki serta memahami masalah yang ada pada projek ini, kumpulan telah menggunakan kaedah KKC iaitu RLST sebagai 'tools' bagi menangani masalah projek.

Setelah kaedah KKC diaplikasikan sasaran dan matlamat projek telah mampu dicapai dengan mudah dan jayanya, kerana kumpulan mampu memperbaiki masalah yang telah dikenal pasti dengan efisien dan cepat dan sekaligus mampu mempercepatkan proses permohonan tersebut.

Kumpulan Lagenda dianggotai oleh Dayangku Hajah Nur Satri binti Pengiran Haji Hashim selaku Pemudah cara, Mohd Arifin bin Abdullah selaku Ketua Kumpulan, Mariani binti Haji Jamil selaku Setiausaha, Ahli-ahlinya ialah Zuraini binti Jumat dan Abdul Rahim bin Abdullah.

Konvensyen KKC mula diperkenalkan di Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam pada tahun 1984, yang mengetengahkan budaya kerja berpasukan atau bermesyuarah yang setentunya memberi nilai tambah kepada hasil kerja-kerja yang diusahakan.

Sebanyak 15 kumpulan dari 12 jabatan yang mewakili tujuh Kementerian Kerajaan bertanding dalam konvensyen KKC pada tahun ini yang membentangkan lima kategori iaitu pemberian perkhidmatan kepada orang ramai; keberkesanan pencapaian; pembaikan proses; penguatkuasaan peraturan dan pengurusan pejabat.

Pada tahun ini konvensyen KKC merupakan salah satu daripada aktiviti sektoral Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-18, yang mana pada lazimnya dijadikan sebagai acara Sambutan HPA secara berselang-seli dengan Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Pengurusan.

Majlis Penyampaian Hadiah bagi konvensyen KKC pada tahun akan diadakan semasa Sambutan HPA pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian oleh Jawatankuasa Tertinggi HPA.

 
13 September 2011
Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi dan Tsunami Jepun terus terima sumbangan derma

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menerima sumbangan kutipan Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Jepun yang diserahkan oleh Pengarah Urusan YSHHB, Dato Paduka Awang Haji Ali Hashim bin Haji Daud

Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi dan Tsunami Jepun hari ini menerima sumbangan derma berjumlah BND11,216.22 disumbangkan oleh YSHHB dari hasil kutipan tabung-tabung yang ditempatkan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).

Derma tersebut diserahkan oleh Pengarah Urusan YSHHB, Dato Paduka Awang Haji Ali Hashim bin Haji Daud kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah selaku Penasihat bersama Jawatankuasa Tabung tersebut.

Penyerahan Derma Bantuan Mangsa Kebakaran Rumah dan Penyampaian Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Tsunami Jepun berlangsung di Bilik Tingkat VI, bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Sehingga hari ini, Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Jepun telah mengutip wang berjumlah BND121,220.81 dan USD50,000 (Lima Puluh Ribu Dollar Amerika).

Juga hadir di majlis itu Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Penghulu Mukim Berakas, Yang Berhormat Awang Haji A. Ahmad bin Haji Husain, Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Hamid bin Haji Mohd. Jaafar dan Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhasan serta pegawai-pegawai kanan KKBS

 
13 September 2011
Tujuh ketua keluarga mangsa kebakaran menerima sumbangan derma

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah semasa menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran

Tujuh ketua keluarga dari Kampung Dato Gandi, Mukim Kota Batu dan dua ketua keluarga masing-masing dari Kampung Orang Kaya Besar Imas, Mukim Berakas dan Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba, Mukim Gadong 'A' menerima sumbangan derma bantuan mangsa kebakaran rumah yang berlangsung di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Sejumlah BND25,900 disumbangkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), KKBS.

Penyampaian derma tersebut disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Sebelum ini, JAPEM juga telah menyumbangkan bantuan berupa catuan makanan untuk tempoh seminggu, bantal dan kain selimut kepada mangsa kebakaran berkenaan.

Manakala sejumlah BND33,500 lagi sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) disampaikan oleh Pengarah Urusan YSHHB, Dato Paduka Awang Haji Ali Hashim bin Haji Daud.

Juga hadir di majlis itu Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Penghulu Mukim Berakas, Yang Berhormat Awang Haji A. Ahmad bin Haji Husain, Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Hamid bin Haji Mohd. Jaafar dan Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhasan serta pegawai-pegawai kanan KKBS.

 
7 September 2011
Tabung Bantuan Kemanusiaan Somalia ditubuhkan hari ini

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Di Raja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah ketika menghadiri mesyuarat penubuhan Tabung Bantuan Kemanusiaan Somalia

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar’ Ali Saifuddin Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan satu tabung bantuan kemanusiaan yang dikenali sebagai Tabung Bantuan Kemanusiaan Somalia. Jawatankuasa Tabung ini dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan Setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama. Manakala ahli-ahlinya terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Penubuhan Jawatankuasa Tabung ini bertujuan untuk mengumpulkan derma atau sedekah seangkat-angkat hati daripada semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bagi membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa kebuluran di Somalia.

Sehubungan dengan itu, satu mesyuarat Jawatankuasa Khas yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Bantuan Kemanusiaan Somalia telah diadakan pada hari ini bertempat di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan.  Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan segala urusan yang berkaitan dengan usaha mengumpulkan derma daripada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Hadir sama ke mesyuarat pada hari ini ialah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Yang berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah; Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tabung tersebut dan Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman selaku Timbalan Penasihat Jawatankuasa Tabung berkenaan.

Mesyuarat Jawatankuasa pada hari ini telah menetapkan bahawa derma akan diadakan selama tiga (3) bulan iaitu mulai hari ini, 7 September 2011 hingga 6 Disember 2011. Penetapan tempoh tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi tujuan kutipan derma tersebut.

Untuk itu, bagi orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan bolehlah menderma melalui tabung-tabung yang disediakan di bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara ataupun menghantarkannya terus kepada Urus Setia Tabung Bantuan Kemanusiaan Somalia di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada waktu pejabat.

 

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]