
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan hari ini telah menerima sumbangan daripada Bank Islam
Brunei Darussalam (BIBD) melalui Bahagian Kumpulan Perbankan Runcit (RBG).
Sumbangan adalah berbentuk derma berjumlah BND2,500.00 untuk Tabung Orang-Orang
Cacat. Majlis penyerahan derma diadakan petang tadi di Pusat Bahagia Brunei Muara.
Sumbangan tersebut telah diterima oleh Yang Mulia Dayang Mirany Floridzah binti Abd
Rahman, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat yang disampaikan oleh
Yang Mulia Hajah Rohani binti Haji Salleh, Ketua Bahagian Jualan, Bahagian Kumpulan
Perbankan Runcit (RBG).

Hasil kutipan ini disalurkan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial
korporat, pihak RBG kepada tabung persatuan yang dipilih iaitu Tabung Orang-orang Cacat
Brunei Darussalam. Sumbangan yang diterima ini adalah hasil kutipan daripada bahagian
berkenaan semasa promosi sempena bulan Ramadhan, Aidil Adha Treats bagi pengguna
kad kredit. Diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan keperluan golongan
yang memerlukan khususnya Orang Kelainan Upaya di samping untuk meraih keberkatan
pahala dan sekaligus untuk mendapat keredhaan daripada Allah Subhanahu Wata’aala.