
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, agensi
swasta dan persatuan-persatuan bukan kerajaan meraikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia kali Ke-16 dengan tema Masa Depan Yang Lebih Baik Untuk Setiap
Kanak-Kanak atau “A Better Future for Every Child”.
Acara utama sambutan pada tahun ini diadakan pada hari Isnin, 21 November 2022 di
Dewan Digadong, bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Hadir selaku
tetamu kehormat ke acara tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji
Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir sama ke
acara tersebut ialah Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari,
Setiauasaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan,
Yang Mulia Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pemangku Timbalan
Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Pendidikan, guru-guru serta wakil daripada
Project Women Brunei, MyActionForSDGs dan Brucert.


Pengisian acara pada hari ini ialah persembahan pantomim, sesi bengkel, sesi kongsi
dan refleksi. Seramai 50 orang penuntut-penuntut dari sekolah kerajaan Tahun 9 dan
10 telah menyertai bengkel pada hari ini.

Bengkel pertama bertajuk “Kemahiran Hidup yang Diperlukan oleh Kanak-Kanak
Untuk Masa Hadapan” disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Iqbal bin Haji
Damit, Pengasas Hand4Hand Brunei dan Yang Mulia Dr Nordiana binti Haji Zakir,
Penolong Profesor Institut Pendidikan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan
dikendalikan oleh Yang Mulia Pengiran Salimatul Sa’ada binti Pengiran Mohd
Saleh, Pegawai Psikologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Khas selaku Moderator.
Antara yang dibincangkan dalam bengkel tersebut ialah sesi perkongsian dan
refleksi keperluan kanak-kanak untuk mahir dan bersedia dalam menghadapi
cabaran hidup.

Bengkel kedua “Mind to Heart” disampaikan oleh Yang Mulia Hajah Rozailah binti
Abdul Rahman, Psikologis daripada Bahagian Psikologi Masyarakat, Kementerian
Kesihatan dan Yang Mulia Norsuzilawati binti Abdul Rahman, Pegawai Kaunselor
daripada Jabatan Perkhidmatan Awam, dan dikendalikan oleh Yang Mulia Awang
Hafiz bin Haji Kifle, Pegawai Kaunseling, JAPEM selaku moderator. Antara yang
dibincangkan dalam bengkel tersebut ialah sesi perkongsian dan refleksi mengenai
kepentingan kesejahteraan mental.
Acara dimeriahkan dengan persembahan pantomim oleh pelajar-pelajar dari Sekolah
Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Persembahan tersebut antaralain
berhasrat untuk menyuntik semangat dikalangan kanak-kanak untuk menjadi insan
yang lebih baik, dan juga memberikan gambaran mengenai kepentingan keteladanan
ibu bapa sebagai pembimbing kepada anak-anak agar mempunyai masa depan yang
lebih cerah serta menyedari kepentingan kesihatan mental.
Bengkel pada hari ini diakhiri dengan Majlis Penutup yang disempurnakan oleh Yang
Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiauasaha Tetap
(Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Selain bengkel yang diadakan hari ini, beberapa aktiviti lain juga telah diadakan
bersempena dengan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia iaitu Doa Kesyukuran
sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2022 dan Doa Selamat Terhindar dari Wabak
COVID-19 yang telah diadakan di sekolah-sekolah ugama di seluruh Negara pada 19
November 2022.
Antara program dan aktiviti lain yang telah disusun sehingga penghujung bulan
November ialah Taklimat Pemberigaan mengenai Konvensyen Hak Kanak-Kanak
kepada penuntut-penuntut sekolah menengah Tahun 7 hingga 10 yang akan diadakan
pada 23 November 2022. Program Meraikan Hari Kanak-Kanak di Yayasan Kanser
Kanak-Kanak (YASKA) dan Child Development Centre (CDC) pada 24 November 2022.
Santai-Santai Berkongsi bertajuk “Appreciating Kindness” akan diadakan secara
dalam talian pada 26 November 2022 dan aktiviti “What Makes Me Feel Grateful’ yang
akan diadakan di Bandarku Ceria anjuran MyActionForSDGs pada 27 November 2022.

Sebagai usaha menyokong Hari Kanak-Kanak Sedunia, Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali
Saifuddien (SHOAS) akan dinyalakan dengan lampu berwarna biru sebagai lambang
Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia bersempena dengan warna rasmi United Nations
Children’s Fund (UNICEF).
Penyalaan lampu Jambatan SHOAS bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia
itu akan diadakan hari Isnin 21 November 2022 bermula pada jam 7.00 malam
hingga 5.00 pagi 22 November 2022. Orang ramai adalah dijemput untuk
mengambil gambar Jambatan-jambatan dan memuatnaik kedalam media sosial
dengan menggunakan hashtag #UniversalChildrensDayBN atau #WorldChildrensDay.