Pusat Bahagia Cawangan Daerah Tutong,
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah mengadakan Peraduan Membaca Al Quran
dan ayat-ayat lazim pelatih Orang Kelainan Upaya (OKU) Pusat-Pusat Bahagia seluruh negara.
Peraduan ini dianjurkan bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1444 Hijrah
yang mana melibatkan pelatih-pelatih dari Pusat-Pusat Bahagia di keempat-empat daerah.

Hadir bagi menyempurnakan majlis ialah Yang Mulia Awang Mohamad Khairul Shahrul bin Haji
Duahim, Pegawai Pentadbir Tingkat Khas, Jabatan Pembangunan Masyarakat dan diselajurkan
dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Sebanyak tiga kategori OKU dipertandingkan iaitu bagi kategori OKU Intelek, Anggota dan
penglihatan. Peraduan ini juga dibukakan bagi penyertaan pelatih lelaki dan perempuan, dan
seramai 17 peserta mengambil bahagian di dalam peraduan ini.

Antara tujuan peraduan ini diadakan adalah bagi menampilkan pelatih-pelatih OKU yang
berbakat dalam pelbagai bidang di samping dapat mencungkil bakat mereka di dalam pembacaan
Al Quran. Ianya juga merupakan salah satu aktiviti keugamaan Pusat Bahagia bagi melahirkan
pelatih-pelatih OKU yang boleh membaca Al-Quran dengan lancar dan sempurna. Dengan adanya
penganjuran yang berkebajikan ini, ianya diharapkan dapat meningkatkan hubungan silaturrahim
di antara pelatih-pelatih OKU di Pusat-Pusat Bahagia JAPEM seluruh negara.
Majlis juga diserikan dengan persembahan nasyid daripada pelatih-pelatih OKU dari Pusat
Bahagia Brunei-Muara.
