Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

MAJLIS PENYERAHAN DERMA TABUNG KEMANUSIAAN GEMPA BUMI REPUBLIK TURKIYE DAN REPUBLIK ARAB SYRIA

IMG_3320.jpg

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menerima sumbangan bagi Tabung Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria daripada Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur berjumlah Dua Puluh Empat Ribu Tiga Ratus Sembilan Puluh Enam Ringgit dan Enam Puluh Empat sen ($24,396.64). Majlis berlangsung di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadir menerima sumbangan tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Sumbangan bagi pihak Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur telah disampaikan oleh Yang Mulia Bilal Buttar, Pengetua Eksekutif Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur dan Yang Mulia Eliza Zahra binti Hj Md Nizam, Yang Mulia Aesha Ahmad Mostafa dan Yang Mulia Ulfat Doha Mohammad Mahmudul Kabir, wakil penuntut-penuntut Tahun 5 & 6, Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur.

IMG_0108.jpg

Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah Yang Mulia Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Sumbangan derma yang dikumpulkan ini adalah hasil kutipan daripada penuntut-penuntut sekolah berkenaan pada 10 - 15 Februari 2023 dalam sama-sama membantu mangsa bencana di samping memupuk nilai teras sekolah berkenaan "Service To Allah, To Each Other And To All Who We Cross Paths" di kalangan penuntut-penuntut.

Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria telah dibukakan kepada orang ramai selam 3 bulan bermula 14 Februari 2023 hingga 14 Mei 2023. Tabung ini merupakan sebuah platform yang disediakan oleh pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan telus, serta bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Republik Turkiye dan Republik Arab Syria yang dilanda bencana alam gempa bumi pada 06 Februari 2023 lalu.

IMG_0104.jpg

Orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan derma berbentuk kewangan boleh berbuat demikian melalui tabung-tabung yang disediakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat; bangunan-bangunan bank; gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara.

Derma juga boleh dihantar secara online melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), nombor akaun 00-001-01-0084049 atau melalui perkhidmatan QuickPay dengan mengimbas QR Code QuickPay yang boleh didapati diposter-poster dan pelekat-pelekat tabung berkenaan atau dihantar terus kepada Pihak Urus Setia Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria di Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan pada waktu pejabat.

Sumbangan juga boleh dihantar melalui perkhidmatan SMS dengan menaip BANTU (tanpa jarak) diikuti dengan jumlah 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100 dan hantar ke talian 38111 bagi pelanggan Datastream Digital Sendirian Berhad dan Progresif Sendirian Berhad serta hantar ke talian 39999 bagi pelanggan Imagine Sendirian Berhad. Perkhidmatan SMS ini akan berakhir pada 14 Mei 2023.

Bagi pihak yang berhasrat untuk mengadakan kutipan amal, peti tabung khas dan pelekat khas tabung boleh didapatkan di pejabat urus setia tabung pada waktu pejabat.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini, boleh menghubungi Urus Setia Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria di talian 2381903 / 2382911 sambungan 1341/1205 pada waktu pejabat atau Talian Kebajikan 141 atau emel kepada info@japem.gov.bn.

Attachments
Created at 3/20/2023 9:29 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim
Last modified at 3/20/2023 9:55 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim