Satu majlis penyerahan bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada 5 orang ketua
keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran, angin kencang dan rumah roboh telah
diadakan hari ini. Majlis berlangsung di Dewan Citra Budaya, bangunan Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan bantuan kewangan tersebut ialah Yang
Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan).

Seorang (1) ketua keluarga yang menerima bantuan kewangan hari ini adalah mangsa yang
terlibat dalam kejadian kebakaran di Daerah Tutong daripada Kampong Layong, Daerah Tutong.
Dua buah (2) keluarga terlibat dalam kejadian rumah roboh daripada Kampong Saba Tengah
dan Kampong Setia B, Daerah Brunei dan Muara dan dua buah (2) keluarga mangsa kejadian
angin kencang yang menetap di Kampong Batu Marang dan Kampong Bakut Pengiran SiRaja
Muda juga menerima sumbangan.
Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian-kejadian bencana tersebut
dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa berkenaan, pihak kerajaan telah
menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka yang terlibat demi kesejahteraan mereka
sekeluarga. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat
dan penduduk yang mengalami musibah.