Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

MAJLIS PERLANCARAN SMS BRUNEI PRIHATIN DAN MESYUARAT JAWATANKUASA KEBANGSAAN TABUNG KEMANUSIAAN RAKYAT PALESTIN DI GAZA 2023

IMG_3806.jpg‚Äč

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalamtelah memperkenankan penubuhan "Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023" dan seterusnya penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023.

Majlis Perlancaran SMS Brunei Prihatin Tabung Kemanusiaan Palestin di Gaza 2023 telah diadakan pada hari ini yang merupakan salah satu usaha untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai bagi menghulurkan derma kepada tabung berkenaan yang diungkayahkan bersama Datastream Digital (DST) Sendirian Berhad, Progresif Sendirian Berhad dan Imagine Sendirian Berhad. Tempoh kutipan SMS akan berlangsung selama tiga (3) bulan bermula 18 Oktober 2023 hingga 18 Januari 2024.

IMG_3855.jpg

Acara perlancaran tersebut telah disempurnakan oleh Yang berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir Setiausaha-Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan wakil daripada DST Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd dan Imagine Sdn Bhd termasuk wakil-wakil dari sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

Penubuhan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 ini bertujuan untuk mengumpulkan derma berbentuk kewangan sahaja daripada semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bagi membantu meringankan kesengsaraan dan beban penderitaan penduduk Palestin yang terjejas di Gaza, berikutan pertempuran yang berlarutan sejak 7 Oktober 2023. Mangsa-mangsa serangan Israel dan jumlah korban serta kecederaan meningkat di kalangan rakyat Palestin dan menyebabkan mangsa-mangsa sangat memerlukan bantuan.

Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 telah bersidang pagi tadi di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang telah membincangkan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan usaha bagi mengumpulkan derma daripada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan tatacara untuk menghulurkan derma tersebut melalui saluran yang rasmi dan secara pendekatan senegara.

IMG_3888.jpg

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Awang Haji Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Awang Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS). Ahli-ahli mesyuarat terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, bukan kerajaan dan sektor swasta.

Hadir selaku Penasihat-Penasihat Bersama ke masyuarat tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Mesyuarat Jawatankuasa tersebut telah menetapkan tempoh kutipan derma akan diadakan selama tiga (3) bulan iaitu mulai hari ini, 18 Oktober 2023 hingga 18 Januari 2024. Penetapan tempoh tersebut adalah untuk memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbang derma berbentuk kewangan secara langsung dan bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan kebajikan bagi tujuan kutipan derma tersebut.

IMG_3886.jpg

Orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan kutipan derma bagi tabung berkenaan hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urus Setia Jawatankuasa Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023, jika hasil kutipan bersih (100%) disumbangkan kepada tabung berkenaan. Jika ada individu, persatuan dan agensi lain yang berdaftar ingin menderma sebahagian sahaja dari hasil kutipan bersih yang diperolehi dari mengadakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk hiburan awam, adalah disarankan untuk memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Selain itu, orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan juga boleh menderma secara dalam talian melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), nombor akaun 00-001-01-0089051 (Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023) atau melalui perkhidmatan BIBD Quickpay dengan mengimbas Kod QR yang boleh didapati di poster-poster dan pelekat-pelekat (sticker) Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023.

IMG_8581.jpg

Peti-peti tabung akan disediakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat, bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh daerah. Di samping itu, orang ramai juga boleh menghantar derma terus kepada Urus Setia Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 di Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada waktu pejabat.

Attachments
Created at 11/4/2023 9:22 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim
Last modified at 11/4/2023 9:22 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim