Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengadakan majlis penyampaian derma kepada anak-anak yatim peringkat kebangsaan hari ini bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat bersama bagi menyampaikan derma ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Bagi memberkati majlis, acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah An-Nisa ayat 36 hingga 39 oleh YM Awang Mohammad Syafiq Hazman bin Johari dan kemudian diterjemahkan oleh YM Awang Muhammad Azka Ajyad bin Haji Mayad. Kedua-dua pembaca adalah penuntut daripada Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Acara juga diteruskan dengan bacaan Tahlil, Doa Arwah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh YM Pengiran Haji Mohd Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar, Pegawai Pemantau Zon 4, Pejabat Masjid Daerah Brunei dan Muara.
Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian Skim Hadiah Galakan Pelajar-pelajar Cermelang BIBD kepada 11 orang anak-anak yatim yang telah mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam Peringkat 'A' dan 'O', Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan Peperiksaan Sekolah Rendah (PSR) pada tahun 2023. Hadiah-hadiah tersebut disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam. Pelajar-pelajar tersebut ialah;
Pelajar Cemerlang bagi Peringkat 'A'
- Nur Syahirah Najihah binti Mahmood
- Najwa Batrisha binti Zul-Fadliy
Pelajar Cemerlang bagi Peringkat '0'
- Nurul Alyssa Ataillah @ Alyssa Vatsaloo binti Emran
Pelajar Cemerlang bagi Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB)
- Amir Asyraf bin Haji Asmali
- Dayang Wahidah binti Aji
- Siti Nurul Mu'izzah binti Haji Mayadi
- Mazidah binti Madeli
- Siti Nurani Az-Zahraa' binti Haji Wahid
- Muhammad Khairulasyar bin Rohaidin
Pelajar Cemerlang bagi Peperiksaan Sekolah Rendah (PSR)
- Mohamad Waie Zhafran bin Mohamad Fauzi
- Muhammad Hadi Zaqwan bin Mohamad Irwan
Majlis kemudian diikuti dengan penyampaian sampul-sampul derma kepada 3,581 orang anak-anak yatim yang berdaftar di bawah JAPEM oleh tetamu kehormat bersama. Daripada jumlah tersebut, seramai;
- 2,329 orang adalah anak yatim yang berdaftar di Daerah Brunei dan Muara;
- 559 orang anak yatim berdaftar di Daerah Tutong;
- 533 orang anak yatim berdaftar di Daerah Belait dan;
- 160 orang anak yatim berdaftar di Daerah Temburong.
Derma yang dihulurkan merupakan sumbangan melalui gabungan Tabung Anak-Anak Yatim JAPEM, Tabung Dana Anak Yatim Daerah Brunei Muara dan sumbangan BIBD pada tahun ini. Jumlah sumbangan yang dihulurkan melalui Tabung Anak-Anak Yatim JAPEM adalah sebanyak BND$358,100.00. Manakala, Tabung Anak Yatim Daerah Brunei Muara menyumbangkan sejumlah BND$34,935.00 dan sumbangan BIBD berjumlah BND$179,050.00.
Urus Setia Tabung Anak-Anak Yatim sangat mengalu-alukan sumbangan derma dari orang ramai bagi sama-sama menghulurkan bantuan kewangan kepada anak-anak yatim yang berdaftar di bawah pendaftaran kebangsaan. Sumbangan derma tersebut bolehlah dihulurkan melalui kaedah berikut;
- Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Tingkat 2, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa waktu pejabat sahaja, atau;
- Melalui sistem pesanan ringkas (SMS) Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim yang berlangsung selama 9 bulan mulai 5 Mac 2024 hingga 5 Disember 2024 dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu, 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100. Sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan Progresif dan bagi pelanggan Imagine hantar kepada 39999; atau
- Melalui BIBD online atau memasukkan derma ke nombor akaun 0000-101-004-9034 di bawah nama akaun "Tabung Anak-Anak Yatim".
Bagi sebarang pertanyaan lanjut orang ramai boleh menghubungi Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) di talian 2380704 pada waktu pejabat atau menghubungi Talian Kebajikan 141 atau Talian ANAK 121 pada bila-bila masa.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Pemangku Pengarah JAPEM selaku Pengerusi Majlis, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Pegawai-Pegawai Daerah, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan, Penghulu-penghulu, Ketua-ketua Kampung dan wakil-wakil Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).