Bersempena dengan Hari Keluarga Kebangsaan 2024, Jabatan Pembangunan
Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah
mengadakan Majlis Kesyukuran di Masjid Ash- Shaliheen yang disertai lebih daripada
100 orang.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin
oleh YM Awang Haji Md Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji
Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid Ash Shaliheen. Kemudian diikuti dengan tazkirah
bertajuk “Menerapkan Nilai-nilai Teras Kekeluargaan Brunei: Sayang-menyayangi;
Tanggungjawab; Hormat-Menghormati; Pemedulian” (Nilai-nilai Teras Kekeluargaan
Brunei: “SaTu HaraPan”) yang disampaikan oleh YM Muhammad Yussof Hj Abd Majid,
Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Ketua Bahagian Kaunseling dan Kefahaman
Agama (KAFA), Jabatan Hal Ehwal Syariah.
- Tazkirah tersebut menekankan pentingnya komunikasi dalam hubungan
kekeluargaan. Dalam keluarga perlu adanya tanggungjawab, hormat-menghormati,
sayang-menyayangi dan pemedulian dalam nilai-nilai Teras Kekeluargaan Brunei.
- Selain itu juga turut ditekankan mengenai perbezaan sifat lelaki dan perempuan
dalam menangani cabaran rumahtangga yang memerlukan komunikasi untuk
menyelesaikan masalah dengan berhemah dan berilmu dan Allah SWT juga
menjanjikan keluarga yang beriman sebuah syurga.
Acara diteruskan dengan Solat Fardhu Asar berjemaah dan diakhiri dengan bacaan Doa
Selamat Terhindar dari Wabak Covid-19, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei
Darussalam dan Doa Hari Keluarga.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang
Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir
ialah YM Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Pembangunan
Masyarakat selaku Pengerusi Majlis, Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap, Timbalan
Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan, ahli-ahli persatuan dan rakan-rakan
strategik KKBS.