Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

PUSAT PENJAGAAN KANAK-KANAK YANG BERDAFTAR DAN BERLESEN DI SELURUH NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

​Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menerima aduan mengenai dengan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang tidak berlesen. Orang ramai adalah diingatkan untuk sentiasa memastikan bahawa mana-mana premis yang menyediakan khidmat penjagaan anak damit sebagai alternatif kepada para ibubapa untuk menjaga anak-anak damit semasa waktu bekerja hendaklah mematuhi Akta Pusat Penjagaan Kanak-Kanak (Penggal 218) dan berdaftar dibawah Jabatan Pembangunan Masyarakat untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak kerana setiap perlesenan dipantau dan dikawal oleh setiap agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

Setakat 9hb Mei 2024, ada terdapat tujuh puluh empat (74) Pusat Penjagaan Kanak-Kanak di seluruh negara yang sah berdaftar dan berlesen dibawah Jabatan Pembangunan Masyarakat. Senarai pusat-pusat penjagaan kanak-kanak tersebut boleh didapati dengan melayari laman sesawang jabatan Pembangunan Masyarakat di http://www.japem.gov.bn/Perkhidmatan/Pusat%20Penjagaan%20Kanak-Kanak.aspx atau dengan menimbas kod QR dibawah:

img23.jpg

Peraturan Pusat Penjagaan Kanak-kanak dibawah Akta Pusat Penjagaan Kanak-kanak (Penggal 218) menggariskan peraturan-peraturan bagi mengawal dan menjamin keselesaan dan keselamatan kanak-kanak. Antaralain, bagi setiap pusat yang berdaftar dan berlesen:

  • Pemohon dan kakitangan di pusat penjagaan kanak-kanak telah lulus tapisan keselamatan dan tapisan jenayah daripada agensi-agensi keselamatan yang berkenaan, dan telah diperiksa kesihatan sebelum dibenarkan bekerja; dan
  • Dikehendaki menyediakan program untuk kanak-kanak yang bertujuan untuk menyokong perkembangan motor kasar dan halus, kognitif, sosial dan emosi untuk memastikan perkembangan kanak-kanak yang dijaga terjamin.

Orang ramai yang ingin membuat aduan mengenai mana-mana premis penjagaan anak damit, termasuk mengenai kesejahteraan dan keselamatan anak-anak damit yang dijaga adalah disarankan untuk segera memaklumkan Jabatan Pembangunan Masyarakat melalui Talian A.N.A.K 121. Setiap aduan yang diterima akan dijaga kerahsiaannya.

Jika sebuah Pusat Penjagaan Kanak-Kanak adalah didapati tidak berlesen atau menjalankan perkhidmatan secara bertentangan dengan syarat-syarat lesennya, ianya boleh dikenakan denda iaitu saman tidak melebihi $5,000.00, penjara tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi keterangan lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak di talian +673 2380704 atau emel childcarecentre@japem.gov.bn.

Attachments
Created at 6/6/2024 9:45 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim
Last modified at 6/6/2024 9:47 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim