Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

MESYUARAT JAWATANKUASA TERTINGGI SAMBUTAN HARI KELUARGA KEBANGSAAN 2024

IMG_8931.jpg

Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan mengadakan mesyuarat pertama hari ini bagi membincangkan persediaan-persediaan bagi menyambut Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) kali ke-dua belas yang berlangsung di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadir selaku Pengerusi Bersama Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan bagi tahun 2024 adalah Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Dr. Dayang Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan.

IMG_8869.jpg

Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Bersama, mengongsikan bahawa dalam menggerakkan Matlamat Kedua Wawasan Brunei 2035, iaitu pencapaian Kualiti Kehidupan Rakyat Yang Tinggi, satu Social Blueprint telah digubal dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kebangsaan Isu Sosial, yang mengenal pasti keluarga sebagai salah satu bidang fokus utama sebagai landasan bagi penyediaan, perlaksanaan dan pemantauan dasar dan strategi yang lebih terarah bagi pencapaian matlamat tersebut.

Ini adalah kerana keluarga memainkan peranan penting dalam pembentukan modal insan berlandaskan nilai-nilai murni, kasih sayang, hormat-menghormati serta nilai-nilai keagamaan yang teguh, yang menyumbang kepada kesejahteraan dan kebajikan masyarakat. Nilai-nilai murni yang diterapkan dalam inisiatif keluarga akan menentukan keutuhan sesuatu masyarakat dalam mengharungi pelbagai perubahan dan cabaran bagi memperkukuhkan lagi keselamatan, keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara.

IMG_9063.jpg

Beliau berharap Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan pada tahun ini akan menjadi platform untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan memperkukuhkan nilainilai murni dalam keluarga. Selain itu, beliau juga menekankan bahawa sambutan HKK merupakan salah satu inisiatif utama dalam Pelan Tindakan Keluarga di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS). Cadangan Pelan Tindakan Keluarga bagi tahun 2023 – 2027 telah dibentangkan dan disahkan di peringkat MKIS pada Mei 2023 dan akan dilancarkan pada tahun ini.

Beliau juga mengharapkan sambutan HKK ini diraikan di semua peringkat umur dan merentas generasi bermula dengan peringkat kanak-kanak; para belia, golongan warga emas dan tidak melupakan golongan OKU. Oleh itu, adalah diharapkan agar semua pihak, agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan-pertubuhan, institusi-institusi, para penghulu dan ketua kampong, serta pemimpin akar umbi masyarakat, berganding bahu untuk terus sama-sama bekerjasama, dalam memberikan komitmen yang sepadu, terutama sekali dalam menggerakkan acara-acara sambutan, sama ada di peringkat kebangsaan, daerah, mukim atau kampung masing-masing, mahupun di peringkat sekolah dan institusi tertinggi, organisasi, persatuan, masyarakat, ataupun kumpulan keluarga masing-masing, untuk mencapai matlamat tersebut.

IMG_9032.jpg

Hari Keluarga Kebangsaan disambut pada setiap Ahad di minggu pertama bulan Mei setiap tahun. Tema HKK pada tahun ini “Keluargaku Harapanku” dan Fokus HKK adalah “Menerapkan Nilai-nilai Teras Kekeluargaan Brunei: Sayang-menyayangi; 3 Tanggungjawab; Hormat-Menghormati; Pemedulian” (Nilai-nilai Teras Kekeluargaan Brunei: “SaTu HaraPan”).

Turut hadir ke mesyuarat ini ialah ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, sektor swasta dan persatuan badan-badan bukan kerajaan.

Attachments
Created at 6/6/2024 10:35 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim
Last modified at 6/6/2024 10:35 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim