Seramai 16 orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir, kebakaran dan rumah roboh telah menerima bantuan kewangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis berlangsung di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Seramai sepuluh (10) orang ketua keluarga daripada enam belas (16) yang menerima bantuan kewangan hari ini adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran, tiga (3) ketua keluarga terlibat dalam kejadian rumah roboh dan tiga (3) ketua keluarga terlibat dalam kejadian banjir. Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana ialah Yang Mulia Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) selaku Pemangku Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan,Negara Brunei Darussalam.
Pemberian bantuan kewangan ini adalah bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.