Seramai 51 orang ketua keluarga telah menerima bantuan kewangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis berlangsung di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.
Seramai empat puluh enam (46) ketua keluarga daripada Daerah Tutong dan seramai lima (5) orang daripada Daerah Belait yang menerima bantuan kewangan hari ini adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir. Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana ialah Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Pemberian bantuan kewangan ini adalah bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemeduliaan pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.