Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

MAJLIS PERLANCARAN SMS BRUNEI PRIHATIN DAN MESYUARAT JAWATANKUASA KEBANGSAAN TABUNG KEMANUSIAAN GEMPA BUMI REPUBLIK TURKIYE DAN REPUBLIK ARAB SYRIA

IMG_9529.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan "Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria" dan seterusnya penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria.

Penubuhan tabung kemanusiaan ini bertujuan untuk mengumpulkan derma berbentuk kewangan sahaja daripada semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bagi membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Republik Turkiye dan Republik Arab Syria yang telah dilanda bencana gempa bumi pada 06 Februari 2023 lalu. Gempa bumi tersebut merupakan antara gempa bumi yang paling teruk dengan skala bencana yang signifikan, dan setakat ini, jumlah mangsa yang terkorban yang dilaporkan terkorban melebihi 36 ribu jiwa bagi kedua-dua negera, dan dijangka akan meningkat lagi, manakala mangsa yang cedera atau hilang tempat tinggal juga amat memerlukan bantuan.

IMG_9553.jpg

Jawatankuasa Khas tersebut telah bersidang petang tadi di Dewan DIgadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Awang Haji Roslan bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Awang Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS). Ahli-ahli mesyuarat terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, bukan kerajaan dan sektor swasta. Mesyuarat diadakan untuk membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan usaha bagi mengumpulkan derma daripada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Hadir selaku Penasihat-Penasihat Bersama ke mesyuarat tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, selaku Timbalan Penasihat Bersama.

IMG_1599.jpg

Mesyuarat Jawatankuasa pada hari ini telah menetapkan bahawa tempoh kutipan derma akan diadakan selama tiga (3) bulan iaitu mulai hari ini, 14 Februari 2023 hingga 14 Mei 2023. Penetapan tempoh tersebut adalah untuk memberi peluang para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan kebajikan bagi tujuan kutipan derma tersebut.

Bagi orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan bolehlah membuat demikian melalui tabung-tabung yang disediakan di masjid-masjid, surau-surau, dan balai ibadat, bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bagunan-bangunan awam di seluruh negara atau melalui perkhidmatan BIBD QuickPay dengan mengimbas Kod QR yang boleh didapati di poster-poster dan pelekat-pelekat (sticker) Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria atau menghantar terus kepada Urus Setia Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria di Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada waktu pejabat.

Mesyuarat telah didahului dengan Pelancaran SMS Brunei Prihatin Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria. Ini merupakan salah satu usaha untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menghulurkan derma kepada tabung berkenaan yang diungkayahkan bersama DST Sendirian Berhad, Progresif Sendirian Berhad dan Imagine Sendirian Berhad. Tempoh kutipan SMS juga akan berlangsung selama tiga (3) bulan bermula 14 Februari 2023 hingga 14 Mei 2023.

Acara perlancaran tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir Setiausaha-Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan wakil daripada DST Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd dan Imagine Sdn Bhd. 

IMG_1595.jpgIMG_1597.jpg

IMG_9504.jpgIMG_9506.jpg 


Attachments
Created at 3/9/2023 11:19 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim
Last modified at 3/15/2023 9:26 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim