
Forum PREPanita anjuran Jabatan Pembangunan
Masyarakat dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan persatuan-persatuan bukan
kerajaan dilanjutkan hari ini di Kampus IBTE Sultan Bolkiah, Daerah Belait dengan
membawakan topik bertajuk “Communi-Kasih: Komunikasi Adalah Kunci Kebahagiaan”.
Seramai lebih daripada 100 orang penuntut IBTE telah menyertai forum ini yang
bertujuan untuk mempertingkatkan kesedaran tentang kepentingan hak-hak wanita dan
mempersiapkan diri kaum wanita dan kaum lelaki untuk cekal menghadapi masalah atau
musibah yang tidak dijangka di samping untuk memberikan pendedahan mengenai penerapan
positif dalam kehidupan dan tatacara untuk berani tampil ke hadapan.

Forum dikendalikan oleh Dayang Irnawati Binti Haji Mahir daripada JAPEM selaku moderator. Ahli-ahli panel terdiri daripada Yang Mulia
Ustazah Dayang Salmah binti Haji Ahmad, Pegawai Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan
Hal Ehwal Syariah; Yang Mulia DSP Norkhatijah binti Haji Zainal Ketua Unit Siasatan
Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah; Yang Mulia
Dayang Hajah Hadzilahwatie binti Haji Abdul Hamid, Pegawai Kebajikan Perubatan
Hospital Suri Seri Begawan dan Yang Mulia Dayang Nur Judy binti Abdullah, Pengasas
dan Pengarah Eksekutif Project Women and Girls Development Enterprise.
Antara topik-topik yang dibincangkan oleh ahli-ahli panel ialah;
- Yang Mulia Ustazah Dayang Salmah binti Haji Ahmad daripada Bahagian Khidmat
Nasihat Negara telah mengongsikan mengenai peranan lelaki dari perspektif Islam
serta interaksi pergaulan antara perempuan dan lelaki yang mengikut batas syariat.
Beliau menekankan peranan lelaki adalah sebagai pemimpin dalam keluarga,
disamping menjadi pelindung bagi ahli-ahli keluarga lainnya. Beliau juga menasihati
pergaulan diantara lelaki dan perempuan perlulah dijaga dengan baik agar tiada
perkara yang tidak diingini boleh berlaku. Nasihat beliau juga kepada para penuntut
untuk sentiasa menjaga mata, cara percakapan mahupun perbuatan.

- Yang Mulia DSP Norkhatijah binti Haji Zainal daripada Unit Siasatan Jenayah
Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak pula mengongsikan mengenai kes-kes yang
diterima berkenaan dengan wanita dan tindakan yang dapat diambil jika ada
keganasan atau ugutan yang berlaku. Beliau menyatakan kes-kes yang paling
tertinggi ialah kes keganasan rumahtangga terhadap isteri dan juga kes seksual dari
segi menjatuhkan maruah seperti menjatuhkan maruah melalui media sosial. Para
penuntut kemudiannya dinasihati untuk sentiasa berhati-hati dan melaporkan
kepada tenaga pengajar jika mengalami keganasan atau ugutan semasa waktu
pembelajaran sebagai tindakan awal, selain daripada membuat laporan kepada pihak
berkuasa. Beliau menekankan kepada para pelajar untuk mengetahui akan hak
masing-masing apabila berdepan dengan isu-isu keganasan atau ugutan.

- Yang Mulia Dayang Hajah Hadzilahwatie binti Haji Abdul Hamid, Pegawai Kebajikan
Perubatan Hospital Suri Seri Begawan mengongsikan diantara kes-kes mencabar
yang pernah di tangani oleh Kebajikan Perubatan Hospital ialah kes melahirkan anak
sebelum berkahwin. Menurut beliau, kes-kes seperti ini boleh mendorong kepada
masalah kesihatan kepada ibu selepas proses melahirkan tambahan lagi jika wanita
tersebut tiada sokongan yang baik, yang mana boleh menyebabkan kesihatan fizikal
dan mental boleh terjejas. Beliau kemudiannya menasihati para penuntut untuk
mengetahui kepentingan self-care dan meminta pertolongan apabila menghadapi
kesusahan (seek help).
- Yang Mulia Dayang Nur Judy binti Abdullah, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Project
Women and Girls Development Enterprise atau Project Women Brunei pula
mengongsikan kepentingan kumpulan sokongan kepada mangsa-mangsa keganasan
rumahtangga dan keberkesanan projek agensi beliau dalam membantu wanita
membangun kerjaya dan kehidupan mereka. Beliau menerangkan peranan projek
agensi beliau ialah untuk memberikan pendedahan mengenai kepentingan hak-hak
wanita seperti hak untuk dilindungi, hak bekerja dan hak untuk mengambil bahagian
dalam membuat sesuatu keputusan. Di kesempatan itu juga, beliau turut
memperkenalkan khidmat yang diberikan oleh Project Women Brunei iaitu khidmat
klinik nasihat yang dibukakan bagi lelaki dan perempuan, dimana khidmat nasihat
dan konsultasi secara dalam talian dan percuma diberikan mengenai isu-isu yang
dibincangkan.
Forum bertajuk “Communi-Kasih: Komunikasi Adalah Kunci Kebahagiaan” ini akan dilanjutkan ke Kampus IBTE Sultan Saiful Rijal pada 20 September 2023.