
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang
Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menerima sumbangan daripada
Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam (PSWNBD) bagi Tabung
Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 bertempat di bangunan Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan petang ini.
Sumbangan derma tersebut telah disampaikan oleh YM Dayang Hassanah binti Hj Awang
Hassan, Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam berjumlah
Lima Belas Ribu Lapan Ratus dan Tiga Puluh Ringgit (BND 15,830.00).
Sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan daripada ahli-ahli Persatuan Siswazah serta
para jemputan, dan juga hasil jualan bunga-bunga ros semasa Majlis Malam Amal bagi
Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023, yang telah diadakan pada 1 Disember
2023.

Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah YM Dayang Fauziah binti
Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis
dan ahli-ahli persatuan berkenaan.
Tempoh kutipan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 telah dilanjutkan
selama enam bulan lagi, iaitu sehingga 18 Oktober 2025 bagi memberi peluang kepada
orang ramai untuk meneruskan aktiviti-aktiviti amal dan sumbangan derma kepada rakyat
Palestin di Gaza.

Orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan kutipan derma bagi tabung berkenaan
hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Pembangunan
Masyarakat selaku Urus Setia Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat
Palestin di Gaza 2023, jika hasil kutipan bersih (100%) disumbangkan kepada tabung
berkenaan. Jika ada individu, persatuan dan agensi lain yang berdaftar ingin menderma
sebahagian sahaja dari hasil kutipan bersih yang diperolehi dari mengadakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk hiburan awam, adalah disarankan untuk memohon kebenaran
terlebih dahulu daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Selain itu, orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan juga boleh menderma
secara dalam talian melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), nombor akaun
00-001-01-0089051 (Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023) atau
melalui perkhidmatan BIBD QuickPay dengan mengimbas Kod QR yang boleh didapati di
poster-poster dan pelekat-pelekat (sticker) Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza
2023.
Peti-peti tabung juga disediakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat, bangunan
bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara.
Di samping itu, orang ramai juga boleh menghantar derma terus kepada Urus Setia Tabung
Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 di Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran,
Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia
dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada waktu
pejabat.