
Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) dengan kerjasama Jabatan
Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Majlis
Belia Brunei (MBB) telah mengadakan Persidangan Kebangsaan Pertama bagi Orang Kelainan
Upaya di Brunei Darussalam yang berlangsung selama dua (2) hari dari 10 hingga 11 Jun 2025
di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Persidangan ini juga diadakan di bawah Acara
Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2025.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan persidangan ini ialah Yang Berhormat Dato
Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YM Malai @Sharifah Adila Surya binti Malai
Haji Abdullah, Presiden Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) yang
menggambarkan persidangan ini sebagai sebuah platform untuk membincangkan kekuatan,
perkhidmatan dan cabaran yang dihadapi oleh OKU, amalan terbaik antarabangsa, serta
peranan negara dalam menyokong keperluan kitaran hidup orang kelainan upaya melalui
langkah-langkah dasar.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Persidangan yang julung
kalinya diadakan merupakan detik penting yang mencerminkan komitmen Negara Brunei
Darussalam dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan memperkasa OKU. Beliau juga
mengetengahkan beberapa pencapaian utama dan usaha berterusan negara untuk memupuk
inklusiviti, termasuk;
- Rangka Kerja perlindungan perundangan dan sosial yang menyeluruh di Brunei
Darussalam, khususnya melalui Perintah Orang Kelainan Upaya 2021, yang
mentakrifkan ketidakupayaan selaras dengan piawaian antarabangsa dan mewajibkan
Pendaftaran Kebangsaan Orang Kelainan Upaya, di mana sehingga April 2025, sejumlah
2,724 individu telah didaftarkan; serta Akta Pencen Umur Tua dan Kurang Upaya yang telah dipinda bagi membolehkan penerima yang layak menerima kedua-dua faedah Pencen
Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya. Selain itu, pengenalan Elaun Penyedia Penjaga
sebanyak BND250 sebulan turut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting
penjaga dalam memastikan kesejahteraan OKU.
- Menyediakan peluang pendidikan yang lebih inklusif, di mana Brunei Darussalam telah
melancarkan Rangka Kerja Pendidikan Khas pada tahun 2023 bagi memastikan pelajar
berkeperluan khas mendapat akses pendidikan berkualiti secara adil, serta
memperkenalkan Elaun Pendidikan Khas pada tahun 2024 bagi sekolah-sekolah
Pendidikan Khas yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan. Selain itu, Pameran
dan Forum Sumber Keperluan Khas yang pertama turut diadakan pada Disember 2024,
dianjurkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian
Pendidikan dan Projek IMPIAN, yang berfungsi sebagai platform sehenti untuk ibu bapa
dan penjaga dalam mendapatkan maklumat mengenai laluan pendidikan, latihan kemahiran
dan perkhidmatan sokongan di bawah Akta Pendidikan Wajib. Biasiswa, termasuk dalam
bidang khusus seperti Tahfiz, kini ditawarkan kepada individu berkeperluan khas sebagai
komitmen terhadap pendidikan inklusif.
- Usaha mempromosikan lebih banyak peluang pekerjaan, di mana pada tahun 2024,
Program Jelajah Kerjaya JobCentre Brunei telah menawarkan lebih 100 peluang pekerjaan,
termasuk jawatan untuk orang kelainan upaya sebagai satu langkah penting ke arah
pekerjaan inklusif. Yang Berhormat Dato menyeru tindakan lebih lanjut, dan menggesa para
majikan dari semua sektor supaya lebih giat mengadakan lebih daripada program
kesedaran dengan menyediakan latihan, menghapuskan halangan dan mewujudkan
tempat kerja yang inklusif. Yang Berhormat Dato turut memuji agensi-agensi seperti
Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pengangkutan Darat, Tabung Amanah
Pekerja dan Jabatan Kerja Raya kerana menunjukkan contoh positif dalam pengambilan
OKU serta menyeru agar amalan pengambilan inklusif dijadikan norma.
Kemudian acara diteruskan dengan penyampaian Anugerah OKU Cemerlang kepada YM
Dayang Nurul Huda Awang Hj Muhin dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan
Anugerah OKU Berkhidmat kepada YM Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa
Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abd Momin, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam
sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas sumbangan mereka. Turut diadakan ialah
penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja, penceramah, dan pemudah cara yang
telah menjayakan acara ini. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Seramai lebih daripada 300 orang dijangka menyertai persidangan ini yang terdiri daripada
pegawai-pegawai Kerajaan yang terlibat dalam pembentukan akta dan dasar, pegawai sumber
manusia sektor swasta, tenaga pengajar dari sekolah kerajaan, swasta, pemilik perniagaan,
persatuan-persatuan dan perusahaan sosial yang melibatkan OKU.

Semasa Majlis Pembukaan, Ucaptama turut disampaikan oleh YM Tuan PT Lim Puay Tiak,
selaku Pengerusi ASEAN Disability Forum (ADF) dan Bendahari Kehormat International
Disability Alliance (IDA) yang menyampaikan kepentingan peranan ADF sebagai platform
advokasi dan penyelarasan bagi organisasi OKU, serta kepentingan penyertaan suara OKU
dalam semua keputusan. Kerjasama antara organisasi serantau seperti ADF dan badan
antarabangsa seperti IDA adalah penting untuk memperkasakan OKU dan mencapai
pembangunan yang inklusif.
Sesi persidangan kemudian diteruskan dengan perbincangan dan perkongsian ilmu mengenai
topik-topik yang berkaitan.
Panel Perbincangan 1 yang bertajuk "Pendidikan Berorientasikan Pekerjaan dan
Kerjaya" dikendalikan oleh YM Pg Salimatul Sa’ada Pg Saleh dari Jabatan Pendidikan
Khas (JPKhas), Kementerian Pendidikan dengan ahli-ahli berpengalaman YM Dr. Siti
Norhedayah Hj Abdul Latif, Penolong Profesor di Institut Pendidikan Sultan Hassanal
Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam, YM Dr. Hjh Mawarni Hj Abdul Hamid, Ketua Pusat
Perkembangan Kanak-Kanak, Kementerian Kesihatan dan YM Tuan Rezki Achyana,
Pengasas Parakerja dari Indonesia, menampilkan perbincangan mendalam mengenai
bagaimana sistem pendidikan dapat diselaraskan dengan keperluan pasaran kerja,
terutamanya bagi pelajar berkeperluan khas. Perbincangan ini menyuarakan kepentingan
penyelarasan sistem pendidikan dengan keperluan pasaran kerja bagi pelajar berkeperluan
khas, serta pendekatan bersepadu antara sektor pendidikan, kesihatan, dan pekerjaan.
Panel Perbincangan 2 yang bertajuk "Melangkaui Pendidikan: Menangani Isu Semasa
bagi OKU Selepas Pendidikan” dikendalikan oleh YM Dayang Nurul Huda Awang Hj
Muhin dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan ahli-ahli panel dari pelbagai
latar belakang dan kepakaran. Mereka ialah YM Dk Khairah Wadihah binti Pg Hj Zainurin,
Pegawai Kerja Sosial, dari Pusat Bahagia, di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat,
YM Puan Robin Ann Jones, Pengarah dan Penyelidik Utama di Great Lakes ADA Center,
Amerika Syarikat dan YM Tuan PT Lim Puay Tiak, Pengerusi ASEAN Disability Forum dan Bendahari Kehormat International Disability Alliance. Sesi ini membincangkan cabaran dan
penyelesaian bagi OKU pasca pendidikan formal, termasuk latihan vokasional, peluang
pekerjaan, dan dasar inklusif.
Panel Perbincangan 3 mengenai "Amalan Terbaik untuk Pendidikan Inklusif"
dikendalikan oleh YM Malai @Sharifah Adila Surya binti Malai Hj. Abdullah, Presiden
MKOKU dan ahli-ahli panel terdiri daripada YM Dr. Eddy Fazlin bin Hj Amzan, Pemangku
Pengarah Jabatan Pendidikan Khas (JPKhas), Kementerian Pendidikan Brunei
Darussalam, YM Puan Suzie Rush, Ketua Inklusif di International School Brunei (ISB),
berkongsi pengalaman YM Puan Liz McCulloch, Ketua Kepelbagaian, Ekuiti dan Inklusi di
Jerudong International School Brunei (JIS) dan YM Puan Ku Geok Boon, dari Kementerian
Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura. Sesi ini mengulas perspektif pakar
mengenai amalan terbaik dalam Pendidikan inklusif.
Panel Perbincangan 4 bertajuk "Merapatkan Jurang Aksesibiliti: Bagaimana
Teknologi Membantu dalam Pemerkasaan, Pendidikan dan Pekerjaan OKU" adalah
sesi interaktif yang dikendalikan oleh YM Sheikh Mohamed Izzat bin Sheikh Hj Khalid, Ahli
Brunei Darussalam National Association of the Blind (BDNAB) dan Pegawai Pelajaran Unit
Sensori Penglihatan JPKhas. Ahli panel pula YM Tuan Wong Yoon Loong, Pengarah
Eksekutif, National Council for the Blind, Malaysia dan YM Puan Robin Ann Jones,
Pengarah dan Ketua Penyelidik Utama, Great Lakes American with Disabilities Act Centre.
Perbincangan ini menumpukan pada peranan teknologi bantu dan teknologi boleh akses
dalam meningkatkan kebebasan, pendidikan, dan peluang pekerjaan bagi Orang Kelainan
Upaya.
Panel Perbincangan 5 bertajuk "Latihan dan Pekerjaan: Adakah Tenaga Kerja
Inklusif?" dikendalikan oleh YM Puan Ayla binti Malai Hj Abdullah dari Brunei LNG
bersama ahli panel YM Puan Melline Jaini, Pengurus Besar Uniklearn, YM Puan Ku Geok
Boon dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura dan YM Tuan Rezki
Achyana, Pengasas Parakerja dari Indonesia. Sesi ini membincangkan isu-isu berkaitan
penyertaan individu berkeperluan khas dalam tenaga kerja dan berkongsi inisiatif untuk
memajukan latihan dan peluang pekerjaan yang inklusif.
Panel Perundingan Interaktif 6 mengenai "From Insight to Action: Personalized
Strategies for Implementing Accessible Tech Solutions" dikendalikan oleh YM Puan
Robin Ann Jones, Pengarah dan Ketua Penyelidik Utama di Great Lakes American with
Disabilities Act Centre. Sesi ini membincangkan pendekatan praktikal untuk
mengintegrasikan teknologi bantu dan boleh akses dalam kehidupan seharian individu
berkeperluan khas, termasuk dalam pendidikan, penyesuaian tempat kerja, dan sokongan
untuk kehidupan berdikari. Sesi ini ditujukan kepada pelbagai pihak berkepentingan
termasuk individu berkeperluan khas, keluarga, pendidik dan majikan.
Persidangan ini dihasratkan menjadi platform untuk mempelajari amalan terbaik samaada dari
dalam mahupun luar negeri, menghasilkan laporan perbincangan dan cadangan demi
memastikan dasar-dasar negara lebih inklusif dan memberikan impak yang lebih besar dalam
memenuhi keperluan masyarakat OKU.
Turut hadir ke persidangan ini ialah Tuan-Tuan dan Puan Yang Terutama dari Duta Besar
Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye, Amerika Syarikat, Republik Persekutuan Jerman,
Kemboja, Republik Filipina, Jepun; Duta Pesuruhjaya Tinggi Kanada dan Republik Islam
Pakistan; wakil dari Kedutaan Diraja Arab Saudi, Kedutaan Diraja Thailand dan Pesuruhjaya
Tinggi Malaysia; Setiausaha-Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kanan daripada
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan organisasi rakan kongsi.