Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

PENYEBARAN MAKLUMAT PALSU DI APLIKASI AKAUN TIKTOK

​Berikutan satu akaun di aplikasi TikTok dengan akaun nama “@skn.gov.brunai7” yang menggunakan logo rasmi Sistem Kebajikan Negara (SKN) sebagai gambar profil TikTok telah memuatnaik maklumat palsu mengenai pendaftaran serta kelayakan untuk mendapatkan Bantuan Khas SKN. Jabatan Pembangunan Masyarakat ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa maklumat tersebut adalah tidak benar dan jabatan ini tidak berkaitan dengan akaun tersebut dan juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang disebarkan. 

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan mempercayai maklumat-maklumat yang disebarkan melalui aplikasi sosial tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu. Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mengongsikan butiran peribadi kepada pihak tertentu yang belum dipastikan kesahihannya.

Jabatan Pembangunan Masyarakat sangat memandang serius terhadap isu penyalahgunaan logo jabatan dan perkara ini juga telah dilaporkan kepada pihak berkuasa. Jabatan Pembangunan Masyrakat juga turut mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148) Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjarakan tiga (3) tahun atau denda sebanyak BND3,000 atau kedua-duanya sekali. 

Bagi maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Talian Kebajikan 141 yang beroperasi 24 jam jika ingin melaporkan sebarang isu-isu yang melibatkan kebajikan dan kemaslahatan orang ramai. Platform rasmi ini adalah untuk memastikan maklumat dan isu yang diadukan akan diambil tindakan dengan segera dan berkesan, serta mengelakkan dari penyebaran berita-berita palsu dan berita- berita tular yang mungkin dapat menganggu ketenteraman awam dan juga disalah guna.

Gambar-gambar yang dimuatnaik di aplikasi Tiktok:

WhatsApp Image 2025-06-11 at 11.27.46.jpeg

WhatsApp Image 2025-06-11 at 11.27.47.jpeg

Attachments
Created at 7/10/2025 8:41 AM by jamaddil.kassim
Last modified at 7/10/2025 8:41 AM by jamaddil.kassim