Persidangan Kebangsaan Pertama bagi Orang Kelainan Upaya di Negara Brunei Darussalam yang diadakan selama dua (2) hari di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas telah melabuhkan tirainya hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis penutup ialah Yang Berhormat Abdul Aziz bin Haji Amdan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, yang dipimpin oleh YM Muhammad Hakim Imanuddin bin Asarwih daripada The Brunei Darussalam Association of the Blind. YM Malai @ Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah, Presiden Majlis Kebangsaan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) dan Pengerusi Persidangan telah membentangkan hasil utama dan cadangan yang dibincangkan semasa persidangan tersebut. Resolusi ini mengiktiraf hak Orang Kelainan Upaya (OKU) selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) dan Pelan Induk Pemerkasaan ASEAN 2025, serta mengakui kemajuan Brunei Darussalam dalam melaksanakan dasar inklusif. Walau bagaimanapun, cabaran masih wujud, termasuk stigma, kekurangan data, dan halangan dalam pendidikan dan pekerjaan. Berinspirasikan amalan inovatif yang dikongsi semasa Persidangan Kebangsaan Pertama untuk OKU, resolusi ini mencadangkan enam tindakan utama: memperkukuh intervensi awal dan sokongan sepanjang hayat; menggalakkan pendidikan dan pekerjaan yang inklusif; membina kerjasama rentas sektor; menangani stigma dan meningkatkan representasi; memanfaatkan teknologi dan inovasi; serta memajukan dasar di peringkat nasional dan serantau. 
Acara diteruskan dengan penyerahan Resolusi Persidangan kepada YM Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Acara diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai.
Pada hari kedua persidangan, para peserta terlibat dalam sesi panel, bengkel interaktif, dan sesi perundingan bersama pakar tempatan dan antarabangsa. Topik-topik berikut telah dibincangkan: Kejayaan Pengambilan Pekerja OKU yang dikendalikan oleh YM Amar Syahirah binti Haji Abdul Murad, Setiausaha Persatuan Amerika Syarikat di Brunei dan ahli-ahli sesi terdiri daripada YM Tuan Rezki Achyana, Pengasas Parakerja dari Indonesia, YM Tuan PT Lim Puay Tiak, selaku Pengerusi ASEAN Disability Forum (ADF) dan Bendahari Kehormat International Disability Alliance (IDA) serta YM Tuan Dr. Shamsulbaharin bin Haji Abdul Rahman, Ketua Pembangunan Bakat, DST Managed Services Sdn Bhd (DMS). Sesi ini membincangkan mengenai amalan terbaik dan kisah kejayaan dalam pengambilan pekerja-pekerja OKU di Negara Brunei Darussalam melalui DMS, Indonesia dan Singapura.
Menjalankan Perusahaan Sosial untuk OKU yang dikendalikan oleh YM Khairunnisa binti Haji Ash’ari, Presiden Majlis Belia Brunei dengan ahli-ahli sesi iaitu YM Malai @ Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah, Presiden Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Ketua Pegawai Eksekutif SMARTER dan Kafe BJAK, YM Naslaila binti Haji Abdul Ghani, ahli Jawatankuasa Biro Latihan Kerja dan Keusahawanan, ahli Persatuan Paraplegic and Physically Handicapped Association (PAPDA) dan pemilik Butik Zulaishah, serta YM Puan Robin Ann Jones, Pengarah dan Penyelidik Utama di Great Lakes American with Disabilities Act (ADA) Center, Amerika Syarikat. Sesi ini membincangkan mengenai kepentingan dan cara-cara membangunkan persekitaran kerja yang mudah diakses OKU melalui keusahawanan, pematuhan undang-undang menggunakan model perusahaan sosial dari ADA dan mengalakkan integrasi komuniti bersama OKU dengan contoh perusahaan sosial yang sedia ada seperti Kafe BJAK dan Butik Zulaishah.
Panel Perbincangan 6 yang bertajuk “Memahami dan Melaksanakan Konvensyen mengenai Hak OKU (CRPD) di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)” yang dikendalikan oleh YM Malai @ Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah, Presiden Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), YM Tuan Wong Yoon Loong, Pengarah Eksekutif, National Council for the Blind, Malaysia dan YM Tuan PT Lim Puay Tiak, selaku Pengerusi ASEAN Disability Forum (ADF) dan Bendahari Kehormat International Disability Alliance (IDA). Perbincangan ini mengupas kepentingan memahami dan membina polisi serta dasar yang mengambilkira hak-hak OKU yang tersedia di bawah CRPD bagi memastikan pembangunan, penglibatan dan kesejahteraan OKU terjaga. 
Sesi Konsultasi yang bertajuk “Startup to Scale: Embedding Accessibility for Long-Term Social Enterprise Growth” yang dilaksanakan oleh YM Puan Robin Ann Jones, Pengarah dan Penyelidik Utama di Great Lakes American with Disabilities Act (ADA) Center, Amerika Syarikat. Sesi konsultasi ini adalah sebagai platform bagi pemilik-pemilik keushawanan, perusahaan sosial, pemimpin perniagaan (business leaders), kerajaan, pengasas yayasan, profesion sumber manusia dan kumpulan advokasi OKU untuk membincangkan pelbagai cabaran dan peluang yang dialami dalam membangunkan perusahaan sosial yang mengambil kerja OKU. Sesi konsultasi juga meneroka cara-cara yang boleh dipraktikkan bagi integrasi pematuhan ADA, model-model pekerjaan dan rekabentuk tempat kerja yang mesra OKU.
Breakout Sessions dari pakar-pakar antarabangsa seperti: - Memahami mempraktikkan Marakkesh Treaty bagi meningkatkan akses makluman bagi OKU Penglihatan disampaikan oleh YM Tuan Wong Yoon Loong, Pengarah Eksekutif, National Council for the Blind, Malaysia.
- Membina Perkongsian Awam-Swasta (Public-Private Partnerships) untuk Pembangunan Tenaga Kerja OKU yang disampaikan oleh YM Puan Robin Ann Jones, Pengarah dan Penyelidik Utama di Great Lakes American with Disabilities Act (ADA) Center, Amerika Syarikat.
- Mengongsikan pengalaman cara-cara mendokong OKU dalam proses pengambilan kerja yang disampaikan oleh YM Tuan Rezki Achyana, Pengasas Parakerja, Indonesia.
Perlindungan OKU daripada Penderaan pula disampaikan oleh YM DSP Hjh Nur Amni Alyani binti Hj Abd Rahman, Pemangku Ketua Unit Siasatan Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei dan YM Nurul Nazurah binti Jaya, Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Orang Kelainan Upaya, Jabatan Pembangunan Masyarakat. Sesi ini membincangkan kaedah-kaedah mengenalpasti jenis-jenis penderaan terhadap OKU, cara melaporkan dan pencegahan dari kelakuan penderaan dari segi fizikal, emosi, seksual, kewangan serta pengabaian terhadap OKU, dan juga peranan undang-undang dan sokongan sosial yang tersedia
Keibubapaan: Membesarkan Anak Kelainan Upaya disampaikan oleh YM Hjh Norajleen Uminatul Hafizah Hj Alimas, Kaunselor di Clarity Sdn Bhd dan Pengasas Cure Heart dan YM Linda Ibrahim, Pengasas Autism Without Borders Brunei. Sesi ini adalah perkongsian pandangan dan sokongan emosi kepada ibu bapa mengenai cabaran-cabaran menjaga dan membesarkan anak-anak OKU seperti kanak-kanak yang mengalami Autisme.
Konsultasi Industri: Penyelesaian Dipimpin Majikan untuk Pertumbuhan Tenaga Kerja disampaikan oleh YM Puan Robin Ann Jones, Pengarah dan Penyelidik Utama di Great Lakes American with Disabilities Act (ADA) Center, Amerika Syarikat. Sesi ini adalah selaku platform perbincangan di antara majikan-majikan, pemimpin perniagaan (business leaders) dan rakan-rakan strategik dalam meneroka strategi-strategi pengambilan pekerjaan OKU untuk menangani jurang-jurang pekerjaan dan pembangunan ekonomi
Persidangan menyeluruh ini bertujuan membina kerangka inklusif melalui pendekatan praktikal, perundangan, sosial dan kerjasama demi pemerkasaan OKU dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan hak-hak OKU. Persidangan ini menandakan satu kejayaan dan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk mengukuhkan dasar-dasar dan polisi pembangunan OKU senegara, mewujudkan peluang yang saksama bagi OKU dan pentingnya kerjasama antara sektor kerajaan, swasta, dan masyarakat. Turut hadir dalam persidangan tersebut ialah para anggota kor diplomatik dan pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta organisasi rakan kerjasama. |