Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM)
telah menerima aduan daripada orang ramai melalui Talian Kebajikan 141 mengenai
seorang individu lelaki yang telah mengutip derma menggunakan nama Tabung
Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 dan mengaku sebagai petugas Jabatan ini
serta memaklumkan beliau telah di arahkan untuk mengutip derma kepada orang
ramai adalah sama sekali tidak benar. Jabatan ini ingin memaklumkan kepada orang
ramai bahawa jabatan ini tidak berkaitan dengan individu tersebut dan juga tidak
pernah mengarahkan mana-mana individu atau agensi menjalankan aktiviti kutipan
berkenaan.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan
mempercayai aktiviti kutipan yang meragukan tanpa memastikan kesahihannya
terlebih dahulu. Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mengongsikan butiran
peribadi atau menyerahkan derma kepada pihak tertentu yang belum dipastikan
kesahihannya.
Jabatan Pembangunan Masyarakat sangat memandang serius terhadap isu
penyamaran ini dan turut mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan menyebarkan
maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di
bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 (Public Order Act, Cap
148) Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau
menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat
kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh
dipenjarakan tiga (3) tahun atau denda sebanyak BND3,000 atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan kutipan derma bagi tabung hendaklah
memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urus
Setia Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin Di Gaza 2023, jika hasil
kutipan bersih (100%) disumbangkan kepada tabung berkenaan. Jika ada individu, persatuan
dan agensi lain yang berdaftar ingin menderma sebahagian sahaja dari hasil kutipan bersih
yang diperolehi dari mengadakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk hiburan awam, adalah
disarankan untuk memohon terlebih dahulu daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Bagi maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan Pembangunan
Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Talian Kebajikan 141
yang beroperasi 24 jam jika ingin melaporkan sebarang isu-isu yang melibatkan
kebajikan dan kemaslahatan orang ramai. Platform rasmi ini adalah untuk memastikan
maklumat dan isu yang diadukan akan diambil tindakan dengan segera dan berkesan,
serta mengelakkan dari penyebaran berita-berita palsu dan berita- berita tular yang
mungkin dapat menganggu ketenteraman awam dan juga disalah guna.
Gambar kutipan derma:
