Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan
Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan,
telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah keseluruhan Tujuh
Belas Ribu Lima Ratus (BND$17,500.00) kepada lapan belas (18) orang
ketua keluarga. Majlis berlangsung di Dewan Citra Budaya, Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Daripada lapan belas (18) ketua keluarga yang menerima bantuan
kewangan hari ini, seramai lapan (8) ketua keluarga adalah mangsa yang
terlibat dalam kejadian angin kencang, tiga (3) ketua keluarga terlibat dalam
kejadian kebakaran, enam (6) ketua keluarga terlibat dalam kejadian banjir
dan seorang (1) ketua keluarga terlibat dalam kejadian rumah tidak selamat
didiami. Sementara itu, sebuah (1) keluarga yang terlibat dalam kejadian
kebakaran telah diberikan bantuan keperluan asasi dan catuan makanan.
Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian
bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang
kecederaan.

Pemberian bantuan kewangan ini adalah bagi meringankan kesusahan
yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka
sekeluarga. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak
kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.
Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa
bencana ialah Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari,
Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia
dan Sukan dan Pemangku Pengarah JAPEM selaku Pengerusi Majlis.