Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul
Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, tempoh kutipan Tabung
Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza telah dilanjutkan selama 6 bulan lagi iaitu mulai 19
Oktober 2025 sehingga 18 April 2026 untuk orang ramai terus menyalurkan bantuan bagi
meringankan kesengsaraan dan beban penderitaan penduduk Palestin yang terjejas di Gaza.
Pelanjutan ini termasuklah melalui platform kutipan yang tersedia di bawah tabung ini:
1 Kutipan melalui SMS Brunei Prihatin yang dikendalikan oleh Datastream Digital Sdn Bhd
(DST Sdn Bhd), Progresif Sdn Bhd dan Imagine Sdn Bhd;
2 Penyediaan tabung-tabung derma di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di
seluruh negara, bangunan-bangunan awam, gedung-gedung perniagaan serta bank-bank
dengan kerjasama Persatuan Bank-Bank; dan
3 Penganjuran aktiviti-aktiviti amal bagi tujuan kutipan derma tersebut.
Kutipan keseluruhan dana tabung ini setakat 15 Oktober 2025 adalah sebanyak B$6,755,890.28.
Sebahagian daripada kutipan dana berjumlah B$1,399,545.00 telah digunakan bagi penghantaran
bantuan kemanusiaan ke Palestin melalui “air-drop” dalam bentuk paket makanan yang siap sedia
untuk dimakan yang telah dilaksanakan pada 13 hingga 15 Mac 2024. Oleh itu, baki tabung setakat
15 Oktober 2025 adalah berjumlah B$5,356,345.28.