Musabaqah Tilawatil Quran Pusat Kegiatan Warga Emas (Peringkat Akhir) Sempena Hari Antarabangsa Warga Emas 2026
Sempena Hari Warga Emas 2026, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Temburong dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menganjurkan Musabaqah Tilawatil Quran Pusat Kegiatan Warga Emas di seluruh daerah.
Pada tahun ini seramai 32 orang peserta (16 qari dan 16 qariah) dari kalangan ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas di seluruh daerah telah menyertai musabaqah ini yang bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah dan silaturahim di kalangan warga emas melalui program keagamaan dan mempertingkat mutu pembacaan Al-Quran.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh YM Ustaz Haji Ishkandar Bin Haji Buntar, Pegawai Pendidikan Ugama, Pusat Bahagia Brunei Muara,diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh YM Awang Haji Bahrun bin Haji Talib, Pengurus Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Temburong selaku Pengerusi Majlis.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan mendengarkan bacaan daripada lapan (8) orang peserta yang layak ke pusingan akhir. Peserta terdiri daripada empat (4) qari dan empat (4) qariah yang mewakili Pusat-Pusat Kegiatan Warga Emas seluruh negara. Acara turut diserikan dengan persembahan tausyeh daripada Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara.
Acara kemuncak majlis ialah pengumuman keputusan Musabaqah Tilawatil Al-Quran Pusat Kegiatan Warga Emas bagi tahun 1448/2026 yang disampaikan oleh YM Haji Kamarulzaman bin Haji Kamis, Pegawai Hal Ehwal Masjid selaku Pengerusi Jemaah Hakim yang dilantik oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama.
-
-
- Johan Qari dan Qariah dimenangi oleh YM Awang Haji Safuzzaman bin Haji Apong dari PKWE Daerah Temburong dan YM Dayang Hajah Alimah binti Haji Matasan dari PKWE Brunei Muara. Masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah Lima Ratus Brunei Dollar (BND500.00), berserta sijil penyertaan, piala dan mock cheque tajaan Syarikat Gear Up Sdn Bhd.
-
- Naib Johan Qari dan Qariah pula disandang oleh YM Awang Emran bin Nasir dari PKWE Brunei Muara dan YM Dayang Jamaliah binti Haji Pudin dari PKWE Tutong, yang masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah Tiga Ratus Brunei Dollar (BND300.00), berserta sijil penyertaan, piala dan mock cheque tajaan Syarikat Gear Up Sdn Bhd.
-
- Tempat Ketiga Qari dan Qariah diraih oleh YM Awang Haji Ibrahim bin Haji Abdul Rahman dari PKWE Brunei Muara dan YM Dayang Hajah Fatimah binti Bangkol dari PKWE Temburong masingmasing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah Dua Ratus Brunei Dollar (BND200.00), berserta sijil penyertaan, piala dan mock cheque tajaan Syarikat Gear Up Sdn Bhd.
-
- Manakala Tempat Keempat Qari dan Qariah dimiliki oleh YM Awang Haji Abu Bakar bin Burut dari PKWE Brunei Muara dan YM Dayang Runa binti Bagol dari PKWE Temburong masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah Seratus Brunei Dollar (BND100.00), berserta sijil penyertaan, piala dan mock cheque tajaan Syarikat Gear Up Sdn Bhd.
-
Seterusnya adalah sijil penghargaan kepada ahli-ahli jemaah hakim sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan sokongan yang diberikan bagi menjayakan penganjuran musabaqah tersebut.
Majlis di akhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Allah Peliharakan Sultan yang dibacakan oleh YM Ustaz Haji Ishkandar Bin Haji Buntar, Pegawai Pendidikan Ugama, Pusat Bahagia Brunei Muara.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari KKBS, JAPEM, Pengurus dan ahli-ahli PKWE seluruh negara, persatuan-persatuan bukan kerajaan, para penaja dan rakan-rakan strategik KKBS.
