Program “Frame 55th Anniversary: A Flight To Remember”
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) memberikan sokongan penuh kepada inisiatif kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Frame Travel Services Sdn Bhd menerusi Program “Frame 55th Anniversary: A Flight To Remember”, yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-55 agensi pelancongan berkenaan yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi melancarkan program tersebut ialah Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat.
Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena ulang tahun ke-55 Frame Travel Services Sdn Bhd ini membiayai penerbangan sewa khas (chartered flight) menggunakan syarikat penerbangan kebangsaan, Royal Brunei Airlines (RB), khas bagiu membawa seramai 114 orang kanak-kanak yang berdaftar di bawah JAPEM, berumur antara 7 hingga 15 tahun, untuk menikmati pengalaman penerbangan. Menerusi senarai peserta yang disediakan oleh JAPEM, program ini bertujuan memberikan pendedahan unik serta peluang kepada kanak-kanak berkenaan untuk menyaksikan keindahan Negara Brunei Darussalam dari ruang udara.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh YM Awang Abdul Ghani bin Murni daripada JAPEM. Acara kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Osman bin Pengiran Haji Patra, Pengarah Freme Travel Services Sdn.Bhd, dan diikuti dengan ucapan daripada Tetamu Kehormat, Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah, JAPEM, sebelum diakhiri dengan sesi gambar kenangan bersama para peserta.
Menyusul selepas majlis pelancaran, para peserta bergerak ke Balai Pelepasan (Departure Hall) bagi menjalani pemeriksaan keselamatan dan imigresen sebelum menaiki pesawat. Penerbangan khas berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada jam 10.00 pagi dan mendarat semula dengan selamat sekitar jam 11.00 pagi. Program diakhiri dengan sesi pengagihan cenderamata kepada para peserta yang berlangsung di Balai Ketibaan (Arrival Hall).
Pihak JAPEM menyambut baik usaha murni Freme Travel Services Sdn.Bhd bersama Royal Brunei Airlines. Program seumpama ini bukan sahaja memberikan pengalaman baharu yang amat bernilai kepada para peserta, malah mencerminkan semangat kerjasama yang kukuh antara sektor awam dan swasta dalam memperkasakan kebajikan serta kesejahteraan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Sehubungan dengan itu, JAPEM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Freme Travel Services Sdn.Bhd serta Royal Brunei Airlines atas keprihatinan, sokongan padu, dan komitmen CSR yang ditunjukkan dalam menjayakan program ini, seterusnya membawa keceriaan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi kesemua kanak-kanak yang terpilih.
