gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2026

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah merayakan Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2026 yang berlangsung di Dar-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Bersama ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Isu-Isu Warga Emas.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Haji Nordin bin Haji Duraman, Guru Ugama Kompleks Rumah Kebajikan. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis, diikuti dengan ucapan daripada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang antaralain menyentuh tentang pentingnya bagi warga emas diberikan peluang, ruang dan sokongan untuk menjalani kehidupan selamat, terus berdikari dan mengambil bahagian secara bermakna mengikut kemampuan dan keadaan masing-masing.

Acara kemuncak majlis menyaksikan pelancaran rasmi buku Pelan Tindakan Warga Emas Ke Arah Penuaan Berjaya, oleh Tetamu Kehormat Bersama, yang disusuli dengan tayangan video. Acara diteruskan lagi dengan penyerahan buku Pelan Tindakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan kepada ahli -ahli Jawatankuasa Khas Isu Warga Emas.

Majlis rasmi diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Haji Nordin bin Haji Duraman, Guru Ugama Kompleks Rumah Kebajikan, sebelum Tetamu Kehormat Bersama diiringi menyaksikan mini pameran.

Sempena pelancaran tersebut, JAPEM turut mengadakan Pameran Mini dan Aktiviti Interaktif bertemakan “Ke Arah Penuaan Berjaya”. Pameran mini ini direka sebagai platform jaringan strategik bagi merapatkan jurang komunikasi serta memperkukuh sinergi antara agensi kerajaan, sektor swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memartabatkan warga emas. Agensi-agensi yang turut serta dalam pameran ini merangkumi:

• UBD Care 1 Oktober 2026
• Pusat Promosi Kesihatan
• Dementia Brunei
• Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
• Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei
• AiTi
• Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM)

Bagi melengkapi pameran tersebut, aktiviti interaktif turut dijalankan berasaskan tujuh kluster utama yang digariskan di dalam Pelan Tindakan Warga Emas Ke Arah Penuaan Berjaya iaitu: Pengangkutan, Pendidikan, Penglibatan Sosial, Jaring Keselamatan Sosial, Kesihatan, Perumahan, dan Rekreasi.

Pelancaran Buku Pelan Tindakan Warga Emas Ke Arah Penuaan Berjaya ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memelihara dan meningkatkan kesejahteraan warga emas menerusi pendekatan bersepadu seluruh negara (whole-of-nation approach). Buku Pelan Tindakan ini menggariskan hala tuju penting bagi memastikan warga emas di Negara Brunei Darussalam menikmati kehidupan yang sihat, produktif, dan bermakna sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ketua-ketua jabatan, ahli-ahli Jawatankuasa Khas Isu Warga Emas, pegawai-pegawai kerajaan, persatuan-persatuan serta rakan-rakan strategik yang terlibat dalam pelaksanaan pelan tindakan ini.