Jerayawara Dan Pameran Sempena Hari Keluarga Kebangsaan 2026
Jerayawara dan Pameran sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2026 diteruskan lagi pada hari ke-2 dengan pelbagai aktiviti menarik yang berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bermula dari jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang.
Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga bagi menyertai pelbagai pengisian yang telah disediakan secara percuma, melibatkan aktiviti pendidikan, pembangunan keluarga, persembahan bakat serta aktiviti rekreasi yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Antara pengisian utama pada hari kedua ialah Bengkel Keibubapaan: “Bila Anak Bersuara” yang dikendalikan oleh Persatuan Afiah bermula dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang. Bengkel ini memberi penekanan kepada kepentingan komunikasi yang berkesan antara ibu bapa dan anak-anak dalam membentuk hubungan kekeluargaan yang lebih erat serta mewujudkan persekitaran yang selamat untuk anak-anak meluahkan pandangan dan perasaan mereka. Seramai 25 orang peserta telah menyertai bengkel tersebut.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan Persembahan Nyanyian dan Muzik oleh Revolution Records & Karyatif Kid yang mengetengahkan bakat kreatif golongan muda melalui persembahan hiburan yang sesuai untuk seisi keluarga. Seterusnya, Unit Kaunseling, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah mempersembahkan sebuah sketsa bertajuk “Harapan Yang Retak”. Persembahan ini membawa mesej kesedaran mengenai kepentingan institusi keluarga, komunikasi yang sihat dan sokongan sosial dalam menangani cabaran kekeluargaan.
Sebagai penutup aktiviti pentas, Majlis Belia Brunei telah menganjurkan Mini Karnival yang menawarkan pelbagai aktiviti interaktif dan permainan santai untuk disertai oleh kanak-kanak, belia dan keluarga.
Selain aktiviti pentas, para pengunjung juga mengunjungi Jerayawara dan Pameran yang melibatkan penyertaan lebih daripada 30 agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, syarikat swasta dan usahawan tempatan.
Pelbagai reruai interaktif, pameran pendidikan, aktiviti kesedaran, demonstrasi, permainan keluarga serta jualan produk usahawan turut disediakan sepanjang hari bagi memberikan pengalaman yang bermanfaat kepada para pengunjung.
Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2026 dianjurkan sebagai platform untuk mengukuhkan institusi keluarga melalui penyertaan masyarakat dalam aktiviti yang berteraskan pendidikan, kesihatan, kesejahteraan sosial, pembangunan komuniti dan rekreasi keluarga.
Jabatan Pembangunan Masyarakat, selaku urus setia Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2026, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kementerian, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, penaja, sukarelawan serta orang ramai yang telah memberikan sokongan dan penyertaan dalam menjayakan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2026.
